TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua hari hilang, ‘live location’ bawa rakan temui mangsa maut dalam gaung 100 meter

By
|
Kongsi
image

GUA MUSANG 7 Okt – Seorang lelaki berusia 60 tahun yang dicari sejak dua hari lalu ditemukan maut selepas pikap Toyota Hilux dipandunya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter di Jalan Ladang Pos Pulat, di sini.

Lokasi mangsa berjaya dikesan selepas rakan sekerjanya menjejaki lokasi terakhir menerusi perkongsian ‘live location’ mangsa pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada Ahad, dua hari sebelum mangsa bersama kenderaannya ditemukan pada Selasa.

Menurutnya, berdasarkan maklumat isteri mangsa, ‘live location’ lelaki berkenaan kali terakhir dikesan di sekitar lokasi kejadian pada petang Ahad.

“Pada Selasa, rakan sekerja mangsa pergi ke lokasi terakhir ‘live location’ berkenaan bagi mencari mangsa sebelum menemukan Toyota Hilux miliknya berada di bawah cerun.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang memandu kenderaan itu sebelum terbabas ke dalam gaung ketika menuruni bukit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Choon Foo berkata, tiada individu dipercayai menyaksikan kejadian menyebabkan kemalangan itu tidak disedari orang awam sehingga kenderaan mangsa ditemukan.

Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian dibawa naik dari lokasi kejadian dengan bantuan anggota JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi polis di talian 09-912 1222.

 

+ - reset