TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

'Kami gagal memenuhi nilai rasa hormat’ - Kahf mohon maaf selepas hantaran ‘beda level’ cetus kecaman

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 Okt – Jenama penjagaan diri lelaki dari Indonesia, Kahf tampil memohon maaf selepas satu hantaran di media sosialnya mencetuskan kecaman kerana dianggap memperlekehkan beberapa negara ASEAN.

Kahf menerusi kenyataan di media sosial berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh terhadap hantaran berkenaan dan sudah memadamkannya susulan kritikan orang ramai.

“Di Kahf, rasa hormat menjadi teras kepada nilai yang kami pegang dan baru-baru ini kami gagal memenuhi nilai tersebut.

“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf atas segala kekecewaan yang telah ditimbulkan. Terima kasih kerana menegur dan memastikan kami bertanggungjawab atas tindakan tersebut,” katanya pada Rabu.

Kontroversi tercetus selepas Kahf memuat naik hantaran di Threads menerusi akaun @kahfeveryday yang memaparkan bendera Indonesia berada di atas garisan dengan tulisan ‘Hati-hati beda level’, manakala bendera beberapa negara ASEAN diletakkan di bawahnya.

Hantaran itu dipercayai dibuat susulan kejayaan Indonesia menjuarai Piala FIFA ASEAN Cup 2026 pada Isnin lalu.

Tindakan berkenaan mengundang reaksi negatif pengguna media sosial, malah produk Kahf turut berdepan gesaan boikot daripada sesetengah pengguna terutama di Malaysia.

Akaun Threads Kahf Malaysia, @kahfeveryday.my turut mengakui kekhilafan berkenaan menjadi pengajaran besar untuk pihaknya lebih peka dan sensitif pada masa akan datang.

Kahf pada masa sama menegaskan hubungan masyarakat Malaysia dan Indonesia sentiasa berteraskan semangat persaudaraan serta rasa hormat.

“Kami komited untuk mengekalkan rasa hormat yang sama terhadap semua negara dan budaya.

“Kahf juga memahami bahawa usaha untuk membina semula kepercayaan memerlukan lebih daripada sekadar permohonan maaf.

“Kami bertekad untuk mendapatkan semula kepercayaan itu melalui tindakan kami. Kami akan melakukan yang lebih baik,” katanya.

 

+ - reset