TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Belum reda kes pelajar maut dibuli, seorang lagi pelajar Tingkatan Dua cedera dipukul senior di Kuala Pilah

By
|
Kongsi
image

KUALA PILAH 8 Okt – Seorang pelajar lelaki tingkatan dua mengalami kecederaan selepas dipercayai dipukul pelajar senior di sebuah bilik asrama sekolah menengah di daerah ini, pada 27 September lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, mangsa berusia 14 tahun dipercayai dipanggil ke sebuah dorm oleh pelajar tingkatan empat berusia 16 tahun susulan perselisihan faham antara mereka.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, mangsa dipercayai dipukul ketika berada di dalam bilik asrama berkenaan sehingga mengalami kecederaan.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kejadian membabitkan seorang pelajar lelaki yang mengalami kecederaan selepas dikatakan dipukul pelajar lain di sebuah asrama sekolah menengah.

“Siasatan awal mendapati mangsa, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dipercayai dipanggil ke sebuah dorm oleh pelajar senior berusia 16 tahun susulan berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAJ), Kuala Pilah susulan kejadian itu.

“Pemeriksaan oleh pihak hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut (soft tissue injury),” katanya.

Muhamad Mustafah berkata, polis sudah mengenal pasti suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Dipanggil senior ke bilik asrama jam 11.40 malam, pelajar tingkatan dua cedera dipukul

+ - reset