TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

14 remaja ditahan bantu siasatan pergaduhan bersenjata di Tawau

By
|
Kongsi
image

TAWAU, 8 Okt. – Seramai 14 individu termasuk 13 pelajar sekolah ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan senjata yang berlaku di taman permainan Taman Ambar, Jalan Kuhara petang kelmarin.

Seramai 13 pelajar yang ditangkap telah dibebaskan dengan jaminan, manakala seorang lagi remaja lelaki berumur 14 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri disahkan bukan seorang murid sekolah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh mengesahkan bahawa kesemua suspek berusia antara 12 hingga 14 tahun itu ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau semalam.

Laporan berhubung insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan remaja berkenaan diterima sekitar pukul 6 petang kelmarin sebelum tindakan susulan diambil.

Siasatan awal mendapati perbalahan tercetus akibat perselisihan faham antara dua pelajar sebelum keadaan berlarutan dan melibat sekumpulan remaja lain di lokasi kejadian.

Satu rakaman video yang tular di platform media sosial turut membantu proses identifikasi setiap individu yang terlibat serta peranan masing-masing dalam kekecohan itu.

Rosdi memaklumkan bahawa beberapa barang kes seperti telefon pintar dan basikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan turut dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh menggunakan senjata, manakala remaja tanpa dokumen sah turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Siasatan lanjut kini diperkemas bagi mengenal pasti tahap penglibatan serta pembabitan khusus setiap remaja yang berada di tempat kejadian.

Proses melengkapkan kertas siasatan sedang dilaksanakan menerusi pengambilan rakaman video asal, rakaman percakapan saksi, serta laporan perubatan rasmi mangsa.

Kerjasama rapat turut dijalankan bersama pentadbiran sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah Tawau bagi mengendalikan isu disiplin membabitkan pelajar terbabit.

Insiden berkenaan tular menerusi video berdurasi 32 saat yang memaparkan sekumpulan remaja bertiga-tiga memakai pakaian sukan sekolah saling bertolak dan bergelut di kawasan lapang. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset