Berita Berita
Belanjawan 2027: MUKMIN gesa kerajaan lindungi PMKS daripada lonjakan kos, risiko gulung tikar
KUALA LUMPUR 8 Okt – Kerajaan digesa memberi perhatian serius terhadap ketahanan rantaian bekalan dalam Belanjawan 2027 bagi melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada lonjakan kos operasi serta gangguan bekalan yang boleh mengancam kelangsungan perniagaan.
Presiden MUKMIN Malaysia, Datuk Wira Shahul Dawood berkata, ketidaktentuan rantaian bekalan kini bukan lagi masalah yang hanya dihadapi syarikat besar, sebaliknya turut memberi tekanan kepada peniaga kecil yang mempunyai kemampuan kewangan terhad.
Menurutnya, kenaikan harga bahan mentah, kos tenaga dan pengangkutan boleh menyebabkan pengusaha terpaksa menaikkan harga barangan kepada pengguna atau berdepan risiko menutup perniagaan.
“Satu gangguan bekalan atau kenaikan mendadak harga bahan mentah boleh memberi kesan langsung kepada operasi perusahaan kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahul berkata, PMKS tidak mempunyai keupayaan kewangan yang sama seperti syarikat besar untuk menyerap peningkatan kos operasi secara berterusan.
“PMKS tidak mempunyai ruang kewangan yang sama seperti syarikat besar untuk menanggung setiap kenaikan kos. Oleh itu, ketahanan rantaian bekalan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada dasar kelangsungan perniagaan, bukan sekadar isu operasi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperkenalkan skim pembiayaan khusus serta memperluaskan jaminan kredit kerajaan bagi membantu PMKS mendapatkan bekalan bahan mentah, mengekalkan stok dan mencari pembekal alternatif.
Beliau turut menggesa supaya sasaran perolehan RM10 bilion di bawah Kerangka Transformasi India Muslim 2030 benar-benar memberi manfaat kepada PMKS yang sedang berkembang, bukannya tertumpu kepada syarikat besar semata-mata.
Menurut Shahul, langkah itu penting bagi memastikan peluang ekonomi dapat diagihkan secara lebih meluas, sekali gus membantu lebih ramai pengusaha kecil meningkatkan daya saing perniagaan masing-masing.
Dalam usaha memperkukuh keupayaan jangka panjang, beliau turut mencadangkan pembangunan pangkalan data padanan pembekal tempatan serta pemberian insentif cukai kepada syarikat yang menggunakan lebih daripada satu sumber bekalan.
Selain itu, kerajaan disaran memperluaskan akses PMKS kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pengurusan inventori, ramalan permintaan dan pengesanan awal risiko gangguan bekalan.
“PMKS mesti diberikan akses dan bimbingan supaya mereka dapat menggunakan teknologi untuk mengurus stok, meramalkan permintaan dan mengesan risiko lebih awal,” katanya.
Shahul menegaskan, usaha memperkasakan perniagaan kecil menerusi pembangunan bakat dan penggunaan teknologi digital mampu membantu ekonomi domestik kekal berdaya tahan ketika berdepan kejutan rantaian bekalan global.
Berita berkaitan
October 8, 2026, 11:09 pm
Jerebu semakin buruk, sekolah di empat negeri, KL dan Putrajaya ditutup esok 9 Oktober
October 8, 2026, 7:25 pm
Jerebu sampai ke Malaysia, Prabowo disaman!
October 8, 2026, 7:07 pm
MCMC siasat penyalahgunaan AI hasil kandungan seksual libat pelajar, guru sekolah di Kedah
October 8, 2026, 7:02 pm
14 remaja ditahan bantu siasatan pergaduhan bersenjata di Tawau
October 8, 2026, 6:56 pm
Ahli Parlimen Padang Rengas dikejarkan ke IJN selepas mengadu tidak sihat di Dewan Rakyat
October 8, 2026, 6:52 pm
Hari Sukan Negara tetap diteruskan Sabtu ini - Mohamed Taufiq
October 8, 2026, 6:50 pm
Myanmar sedia tanggung kos hantar pulang warga asing di Malaysia secara besar-besaran
October 8, 2026, 5:11 pm
