Berita Berita
Jerebu sampai ke Malaysia, Prabowo disaman!
PONTIANAK 8 Okt – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Gabenor Kalimantan Barat merupakan antara 10 defendan yang berdepan saman tindakan kelas berhubung dakwaan kecuaian kerajaan menangani kebakaran hutan sehingga menyebabkan jerebu tebal melanda sebahagian Pulau Borneo.
Saman itu difailkan oleh empat plaintif termasuk cawangan tempatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Orang Asal, AMAN, yang menuduh kerajaan Indonesia melakukan 'kecuaian besar' kerana gagal menangani masalah kebakaran hutan yang berulang setiap tahun.
Menurut laporan Agence France-Presse (AFP), prosiding pertama kes berkenaan berlangsung di sebuah mahkamah di Pontianak, Kalimantan Barat pada Rabu lalu, selepas saman difailkan bulan sebelumnya.
Kebakaran hutan yang melanda wilayah itu menyebabkan pencemaran udara serius sehingga memaksa sekolah ditutup, manakala ratusan penduduk mendapatkan rawatan perubatan akibat masalah pernafasan.
Peguam mewakili plaintif, Glorio Sanen berkata, tindakan undang-undang itu bertujuan mendesak penyelesaian lebih menyeluruh terhadap masalah kebakaran hutan yang terus berulang.
Menurutnya, kebakaran tersebut sebahagian besarnya dikaitkan dengan kemusnahan hutan, selain keadaan kemarau yang diburukkan oleh fenomena El Nino yang kuat.
Indonesia sejak beberapa minggu lalu bergelut mengawal kebakaran hutan di Sumatera, Papua dan Borneo yang memusnahkan kawasan luas serta menghasilkan jerebu tebal sehingga merebak ke Malaysia dan Singapura.
Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada 10 defendan hadir pada prosiding pertama berkenaan, menurut wartawan AFP yang berada di mahkamah.
Glorio melahirkan rasa sedih dan kesal terhadap ketidakhadiran mereka, namun tidak menolak kemungkinan keadaan jerebu yang menjejaskan operasi penerbangan menjadi antara puncanya.
Difahamkan, ratusan penerbangan turut mengalami gangguan akibat asap tebal yang menyelubungi kawasan terjejas.
Berdasarkan dokumen mahkamah yang diperoleh AFP, plaintif mendakwa kerajaan gagal mengambil tindakan berkesan bagi mengatasi masalah kebakaran hutan meskipun kejadian sama berulang hampir setiap tahun.
Sehubungan itu, mereka mahu kerajaan mengisytiharkan keadaan tersebut sebagai bencana nasional bagi membolehkan langkah pemulihan dan rehabilitasi dilaksanakan secara menyeluruh.
Tuntutan itu turut merangkumi tanggungjawab kerajaan untuk menanggung kos rawatan kesihatan penduduk yang terjejas akibat pencemaran udara.
Sementara itu, saman seumpamanya yang pernah difailkan di sebuah mahkamah di Sumatera Selatan pada tahun sebelumnya dilaporkan telah ditolak.
Berita berkaitan
October 8, 2026, 11:09 pm
Jerebu semakin buruk, sekolah di empat negeri, KL dan Putrajaya ditutup esok 9 Oktober
October 8, 2026, 10:30 pm
Belanjawan 2027: MUKMIN gesa kerajaan lindungi PMKS daripada lonjakan kos, risiko gulung tikar
October 8, 2026, 7:07 pm
MCMC siasat penyalahgunaan AI hasil kandungan seksual libat pelajar, guru sekolah di Kedah
October 8, 2026, 7:02 pm
14 remaja ditahan bantu siasatan pergaduhan bersenjata di Tawau
October 8, 2026, 6:56 pm
Ahli Parlimen Padang Rengas dikejarkan ke IJN selepas mengadu tidak sihat di Dewan Rakyat
October 8, 2026, 6:52 pm
Hari Sukan Negara tetap diteruskan Sabtu ini - Mohamed Taufiq
October 8, 2026, 6:50 pm
Myanmar sedia tanggung kos hantar pulang warga asing di Malaysia secara besar-besaran
October 8, 2026, 5:11 pm
