Berita Berita
Hari Sukan Negara tetap diteruskan Sabtu ini - Mohamed Taufiq
PUTRAJAYA 8 Okt – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) yang dijadual berlangsung Sabtu ini diteruskan seperti dirancang, namun beberapa program terutama aktiviti luar berkemungkinan ditangguhkan sekiranya keadaan jerebu semakin buruk.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan mengenai penganjuran program di kawasan terjejas akan dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa serta nasihat agensi berkaitan.
Menurutnya, meskipun persiapan logistik dan penganjuran HSN kini hampir 100 peratus siap, keselamatan serta kesihatan peserta tetap menjadi keutamaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Setakat hari ini, kita masih meneruskan Hari Sukan Negara. Namun, kita perlu melihat nasihat dan pandangan jawatankuasa yang bermesyuarat setiap hari. Jika keadaan tidak mengizinkan, langkah kontingensi perlu diambil, terutama bagi program luar seperti Fun Walk atau larian,” katanya.
Beliau berkata, KBS mengadakan mesyuarat berkala bersama Jabatan Belia dan Sukan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) serta agensi berkaitan bagi memantau perkembangan jerebu.
Mohammed Taufiq turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak membenarkan kanak-kanak menyertai aktiviti luar termasuk acara berjalan kaki dan larian santai ketika kualiti udara berada pada tahap membimbangkan.
Katanya, langkah berjaga-jaga itu penting bagi mengelakkan peserta, khususnya golongan kanak-kanak, terdedah kepada risiko kesihatan akibat pencemaran udara.
Dalam pada itu, beliau berkata, KBS akan berhubung dengan pihak berkuasa negeri terutama di kawasan selatan tanah air termasuk Johor yang mencatatkan bacaan IPU tinggi.
“KBS juga akan berhubung dengan pihak berkuasa negeri, khususnya di kawasan selatan seperti Johor yang menunjukkan bacaan IPU tinggi, bagi menilai kesesuaian penganjuran program.
“Sebarang keputusan penangguhan akan dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi. Kita juga akan mengadakan satu lagi mesyuarat petang ini bagi memastikan keadaan dinilai dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau menegaskan, sebarang perubahan jadual atau penangguhan program HSN hanya akan diputuskan selepas mengambil kira perkembangan terkini jerebu dan penilaian pihak berkuasa berkaitan.
Berita berkaitan
October 8, 2026, 11:09 pm
Jerebu semakin buruk, sekolah di empat negeri, KL dan Putrajaya ditutup esok 9 Oktober
October 8, 2026, 10:30 pm
Belanjawan 2027: MUKMIN gesa kerajaan lindungi PMKS daripada lonjakan kos, risiko gulung tikar
October 8, 2026, 7:25 pm
Jerebu sampai ke Malaysia, Prabowo disaman!
October 8, 2026, 7:07 pm
MCMC siasat penyalahgunaan AI hasil kandungan seksual libat pelajar, guru sekolah di Kedah
October 8, 2026, 7:02 pm
14 remaja ditahan bantu siasatan pergaduhan bersenjata di Tawau
October 8, 2026, 6:56 pm
Ahli Parlimen Padang Rengas dikejarkan ke IJN selepas mengadu tidak sihat di Dewan Rakyat
October 8, 2026, 6:50 pm
Myanmar sedia tanggung kos hantar pulang warga asing di Malaysia secara besar-besaran
October 8, 2026, 5:11 pm
