TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jerebu semakin buruk, sekolah di empat negeri, KL dan Putrajaya ditutup esok 9 Oktober

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Semua sekolah di empat negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diarahkan tutup pada Jumaat, 9 Oktober 2026, susulan keadaan jerebu yang semakin buruk dan menjejaskan kualiti udara di beberapa kawasan negara.

Empat negeri terbabit ialah Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor, manakala penutupan turut melibatkan sekolah di daerah Rompin, Pahang.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sentiasa terpelihara.

Bagaimanapun, sekolah di negeri dan wilayah lain akan beroperasi seperti biasa mengikut takwim persekolahan yang ditetapkan.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu yang berada di kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 180 supaya ditutup mulai 9 Oktober.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, bagi kawasan yang merekodkan bacaan IPU melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut, penutupan perlu dilaksanakan mulai Isnin, 12 Oktober.

Menurutnya, institusi pendidikan yang terjejas perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terganggu.

Pelaksanaan PdPR itu perlu mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta tahap kesiapsiagaan guru.

Dalam masa sama, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa.

Di Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memaklumkan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM ditutup sepenuhnya mulai Jumaat sehingga dimaklumkan semula.

Sementara itu, Johor lebih awal mengumumkan penutupan semua sekolah selama dua hari, iaitu pada 8 dan 9 Oktober, atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sebagai langkah berjaga-jaga susulan kemerosotan kualiti udara.

KPM turut mengarahkan semua JPN, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan memantau bacaan IPU secara berterusan serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan semasa.

Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya mengikuti pengumuman rasmi pihak sekolah serta jabatan pendidikan negeri masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai tempoh penutupan dan pembukaan semula sekolah.

 

+ - reset