TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemberian Khas Sabah, Sarawak naik tiga kali ganda kepada RM1.5 bilion

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Okt – Kerajaan MADANI meningkatkan kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak sebanyak tiga kali ganda, dengan jumlah interim terkini mencecah RM1.5 bilion yang akan dilunaskan sebelum akhir tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan hak serta keperluan pembangunan kedua-dua negeri terus diberi perhatian.

Menurutnya, kadar Pemberian Khas sebelum ini tidak seiring dengan keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak selama puluhan tahun.

Sehubungan itu, kerajaan akan meneruskan rundingan bersama kedua-dua negeri bagi memuktamadkan formula pemberian tahunan yang lebih adil dan mampan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilihat sebagai sebahagian daripada Waad Nasional yang menjadi tanggungjawab bersama seluruh negara.

“Sebanyak 12 perkara MA63 telah dimuktamadkan di bawah Kerajaan Madani, antaranya wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam LHDN. Selain itu, Pelabuhan Bintulu diserahkan dan menjadi pelabuhan milik Sarawak.

“MASWings diserah kepada Sarawak menjadi AirBorneo, sementara Kerajaan Persekutuan masih menyediakan RM209 juta sebagai subsidi yang memanfaatkan 820,000 penumpang di pedalaman.

“Seterusnya, kuasa kawal selia elektrik diserahkan kepada Sabah, sementara Kerajaan Persekutuan masih menyediakan RM600 juta bagi menjamin kelangsungan bekalan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anwar mengumumkan peruntukan Persekutuan bagi Sabah dan Sarawak pada 2027 terus berada pada paras tertinggi.

Sabah bakal menerima RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion pada 2026, manakala Sarawak diperuntukkan RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion tahun sebelumnya.

Peningkatan itu menyaksikan kedua-dua negeri masing-masing menerima tambahan RM1.1 bilion berbanding peruntukan tahun ini.

Selain pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, kerajaan turut memberi tumpuan kepada peluang pendidikan tinggi untuk anak kelahiran Sabah dan Sarawak.

Menurut Anwar, kerajaan bersetuju menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar dari kedua-dua negeri.

“Ini bermakna seramai 4,200 anak Sabah dan Sarawak mendapat peluang melanjutkan pengajian ke menara gading setiap tahun,” katanya.

 

+ - reset