TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Buat kerja sukarelawan, anak muda bakal terima RM100 e-dompet menerusi Budi Belia

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Okt – Anak muda yang aktif menyertai program kesukarelawanan bakal menerima insentif e-dompet sebanyak RM100 menerusi inisiatif Budi Belia yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, insentif itu akan diberikan kepada golongan belia yang berjaya melengkapkan jumlah jam aktiviti kesukarelawanan ditetapkan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih.

Menurut beliau, program berkenaan diperkenalkan sebagai usaha menyemai nilai ihsan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda tanpa mengira latar belakang kaum.

“Nilai-nilai murni harus meresap dalam diri anak-anak kita.

“Justeru, kerajaan akan memperkenalkan program Budi Belia, yakni bagi anak muda yang dapat melengkapkan jumlah jam dalam aktiviti kesukarelawanan bersama NGO terpilih, mereka menerima insentif e-dompet sebanyak RM100,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan kepentingan memupuk sikap prihatin dan tanggungjawab sosial dalam kalangan anak muda supaya budaya membantu masyarakat terus diamalkan.

Menerusi program Budi Belia, penyertaan dalam aktiviti sukarelawan bukan sahaja dapat menggalakkan penglibatan generasi muda dalam kerja kemasyarakatan, malah memberi peluang kepada mereka menerima insentif selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.

 

+ - reset