Berita Berita
‘RM500 juta amat mengecewakan’ - BELIA MAHIR gesa pembiayaan PTPK dinaikkan kepada RM1 bilion
KUALA LUMPUR 9 Okt – Peruntukan RM500 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menerusi Belanjawan 2027 disifatkan amat mengecewakan ketika negara sedang giat memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohammad Rizan Hassan berkata, kerajaan sepatutnya meningkatkan pembiayaan PTPK kepada sekurang-kurangnya RM1 bilion bagi memastikan lebih ramai belia berpeluang mengikuti latihan kemahiran.
Beliau yang juga Ahli Majlis TVET Negara berkata, meskipun peruntukan RM8 bilion bagi TVET merentas kementerian dialu-alukan, jumlah pembiayaan yang disediakan kepada pelatih perlu seiring dengan matlamat melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Menurutnya, kekangan kewangan masih menjadi antara halangan utama kepada golongan belia, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, untuk mengikuti dan menamatkan latihan kemahiran.
“PTPK menyentuh persoalan paling asas bagi ramai belia: kemampuan membiayai latihan kemahiran. Bagi keluarga berpendapatan rendah, yuran, penginapan, pengangkutan dan keperluan sara hidup boleh menjadi penghalang walaupun anak mereka mempunyai minat serta kesungguhan.
“Jangan sampai kita mengajak belia memilih TVET, tetapi kemampuan kewangan menjadi sebab mereka terpaksa melepaskan peluang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammad Rizan berkata, peningkatan pembiayaan kepada RM1 bilion perlu diberi pertimbangan serius bagi memperluas akses kepada pelatih yang layak di institusi kemahiran awam dan swasta berdaftar dengan PTPK.
Katanya, keutamaan juga perlu diberikan kepada bidang latihan yang mempunyai permintaan pekerjaan sebenar bagi memastikan graduan memperoleh peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
Beliau menjelaskan, peruntukan keseluruhan TVET dan pembiayaan pelatih mempunyai fungsi berbeza kerana pembangunan institusi serta penyediaan peralatan sahaja tidak mencukupi sekiranya belia tidak mampu membiayai latihan mereka.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperincikan bentuk pembiayaan PTPK termasuk yuran latihan dan bantuan sara hidup bersesuaian, selain menetapkan pelan agihan serta sasaran penerima yang jelas.
Mohammad Rizan turut menekankan kepentingan memastikan akses pembiayaan yang telus kepada institusi awam dan swasta berdasarkan kualiti serta keberkesanan program latihan.
Menurutnya, pembiayaan juga perlu dihubungkan dengan kompetensi yang diiktiraf industri dan peluang pekerjaan, termasuk laluan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) serta Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).
Pada masa sama, beliau mahu sebarang tambahan pembiayaan disertai tatakelola telus, pemantauan kadar tamat latihan, penempatan pekerjaan serta pendapatan graduan.
Struktur pembayaran balik pinjaman PTPK juga perlu mengambil kira kemampuan peminjam bagi mengelakkan beban kewangan berlebihan selepas mereka menamatkan latihan.
Selain itu, Mohammad Rizan mencadangkan kerajaan mempertimbangkan galakan kepada majikan yang membantu pekerja melunaskan pinjaman PTPK tanpa mengurangkan gaji mereka.
“Kekecewaan ini lahir daripada keprihatinan terhadap belia yang mahu mengubah kehidupan melalui kemahiran. Kita tidak mahu potensi mereka terhenti kerana kekangan pembiayaan,” katanya.
Berita berkaitan
October 9, 2026, 6:00 pm
RM80 juta selenggara rumah ibadat bukan Islam, RM100 juta baik pulih Kampung Baru Cina
October 9, 2026, 5:39 pm
Belanjawan 2027: Ini 10 manfaat khusus untuk rakyat yang perlu anda tahu
October 9, 2026, 5:31 pm
Buat kerja sukarelawan, anak muda bakal terima RM100 e-dompet menerusi Budi Belia
October 9, 2026, 5:29 pm
Bantuan khas kewangan RM1,500 untuk penjawat awam, pencen minimum veteran ATM dinaikkan RM1,350
October 9, 2026, 5:25 pm
Peruntukan kuarters penjawat awam ditingkatkan RM2.3 bilion
October 9, 2026, 5:18 pm
Kerajaan tingkat kebajikan 70,000 guru KAFA dan petugas hal ehwal Islam menerusi insentif khas
October 9, 2026, 5:06 pm
Pemberian Khas Sabah, Sarawak naik tiga kali ganda kepada RM1.5 bilion
October 9, 2026, 4:53 pm
