TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

'Alam sebalik mata', penempatan haram belakang kawasan TNB di Pandan Mewah

By
|
Kongsi
image

AMPANG 16 OKTOBER — Sebuah kawasan penempatan haram dikesan wujud secara tersembunyi di kawasan lapang belakang tapak pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini.

Kewujudan lokasi yang disifatkan penduduk seumpama 'alam sebalik mata' itu terbongkar menerusi pendedahan yang dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial, ewanns._, menerusi satu rakaman video yang kini tular di media sosial.

Menerusi perkongsian itu, pemilik akaun terbabit meluahkan rasa terkilan dan kesal terhadap tindakan sesetengah pihak yang didakwa seolah-olah mempertahan kewujudan penempatan tidak sah itu tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada komuniti sekitar.

"Video ini khas ditujukan untuk yang backup roro (pihak yang mempertahan). Tengoklah penjajahan mereka, sesuka hati buat penempatan belakang kawasan TNB. Untuk para penjilat, nanti boleh bawa anak korang datang 'mini zoo' ini, masuk percuma," katanya menerusi hantaran tersebut.

Tinjauan menerusi klip video berkenaan mendapati kawasan lapang di sebalik struktur TNB itu telah diubah suai secara haram sehingga menyerupai sebuah perkampungan kecil, lengkap dengan struktur binaan sementara serta kurungan haiwan ternakan.

Suasana di penempatan berkenaan yang dipenuhi struktur kayu serta longgokan barang lusuh bukan sahaja mencemarkan pemandangan, malah turut menimbulkan isu kebersihan dan keselamatan kepada kawasan perumahan berhampiran.

Penduduk mendakwa, aktiviti pencerobohan tanah rizab berkenaan dipercayai telah berlarutan sejak sekian lama tanpa sebarang tindakan tegas, sekali gus memberi laluan kepada penceroboh untuk terus memperluas kawasan kediaman tidak sah mereka.

Sehubungan itu, masyarakat setempat mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT), TNB serta agensi penguatkuasaan berkaitan agar segera turun padang bagi menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan pembersihan di kawasan berkenaan demi kesejahteraan komuniti Pandan Mewah.

+ - reset