Berita Viral
Ahli Parlimen Sabak Bernam cakap Bahasa Jawa untuk kirim pesanan pada Prabowo tentang isu jerebu
KUALA LUMPUR 22 OKTOBER - Seorang Ahli Parlimen semalam mencuri tumpuan Dewan Rakyat apabila secara terbuka menyampaikan pesanan kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengenai isu jerebu rentas sempadan dalam Bahasa Jawa.
Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat, menggesa Prabowo mengambil tindakan segera bagi memastikan masalah jerebu yang berulang hampir setiap tahun akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia ditangani secara serius.
"Pak Prabowo, tolonglah ambil tindakan segera, padamkan api, hentikan kebakaran dan pastikan masalah ini tidak berulang setiap tahun. Kita nak langit yang cerah, udara bersih dan rakyat kedua-dua negara dapat hidup sihat dengan aman,” katanya.
Beliau kemudiannya menterjemahkan pesanan itu ke dalam Bahasa Jawa bagi menyampaikan rayuannya secara langsung kepada Prabowo agar masalah jerebu yang menjejaskan rakyat kedua-dua negara diselesaikan segera.
"Janganlah masalah ini dibuat bahan lawak, kononnya hutan Indonesia selama ini bagi oksigen kepada Malaysia. Apakah hutan di Malaysia ini pokok plastik sampai tak boleh keluarkan oksigen?,” soalnya.
Kalam berkata, jerebu bukan sahaja menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia melalui masalah pernafasan, batuk dan asma, malah mengganggu operasi sekolah, sektor pelancongan serta aktiviti ekonomi termasuk pekerjaan di ladang dan kegiatan nelayan.
Beliau turut mencadangkan kerajaan menggunakan saluran diplomatik untuk menggesa Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026 mengambil tindakan serantau yang lebih tegas termasuk memperkukuh penguatkuasaan bersama, mewujudkan sistem amaran awal berasaskan pemantauan satelit dan menubuhkan pasukan tindak balas kecemasan serantau.
Cadangan lain termasuk memperkukuh pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan menerusi mekanisme akauntabiliti yang lebih berkesan serta mewujudkan dana serantau bagi pencegahan kebakaran, pemulihan tanah gambut dan bantuan kepada komuniti terjejas.
Sementara itu, Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) berkata, Malaysia perlu konsisten dalam memberi tekanan diplomatik menerusi mekanisme serantau serta menuntut akauntabiliti lebih jelas daripada pihak yang bertanggungjawab dalam pembakaran hutan yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.
"Singapura sebagai contoh telah mengeluarkan notis langkah pencegahan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan negara itu kepada 10 syarikat di Indonesia yang disyaki terlibat aktiviti pembakaran yang mengakibatkan jerebu.
"Persoalan saya, adakah Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang yang sama? Adakah kerajaan akan mengambil sebarang tindakan perundangan seperti Singapura?,” katanya sambil menekankan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan rakyat Malaysia tidak boleh dikompromi.
Berita berkaitan
October 22, 2026, 11:07 am
Pemandu pandu terhuyung-hayang jadi punca kemalangan pengguna jalan raya lain
October 21, 2026, 1:49 pm
Suami isteri tular didakwa kasari anak dalam lif
October 19, 2026, 5:42 pm
Kematian dicemburui, jemaah meninggal dunia semasa sujud di masjid Muar
October 19, 2026, 4:53 pm
Pemandu lori jadi saksi mat rempit jatuh tersungkur lepas seronok berlumba
October 19, 2026, 10:18 am
Pemandu dakwa jadi mangsa buli kereta 'femes' Porsche hitam di Puchong
October 16, 2026, 4:33 pm
'Hanya sebab kerusi roda', pemandu e-hailing didakwa diskriminasi penumpang OKU
October 16, 2026, 3:16 pm
'Alam sebalik mata', penempatan haram belakang kawasan TNB di Pandan Mewah
October 16, 2026, 12:24 pm
