TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Dua warga Thailand didakwa bunuh anggota Maritim Malaysia di perairan Sungai Padang

By
|
Kongsi
image

KANGAR, 5 Nov. – Dua warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Sungai Padang minggu lalu.

Tertuduh, Pradit Rimat, 22, dan Rotchahan Tehpuyu, 21, mengangguk faham selepas pertuduhan secara bersama dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor berhubung niat membunuh Bintara Muda (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Padang antara jam 11 malam pada 26 Oktober hingga 1.30 pagi pada 27 Oktober mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia, Wirna Arifin dan Kamaliza Md Zain tanpa diwakili peguam, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Januari tahun depan bagi penyerahan laporan kimia dan bedah siasat.

Di Mahkamah Sesyen berasingan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menyeludup sembilan migran warga Myanmar mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, selain pertuduhan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, tujuh migran warga Myanmar berusia antara 22 hingga 43 tahun turut dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan cuba memasuki negara menerusi laluan yang tidak diwartakan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Kejadian pada 27 Oktober itu menyaksikan bot peronda Maritim Malaysia yang dinaiki lima anggota terbalik selepas melanggar sisa konkrit jeti lama ketika mengejar bot yang disyaki membawa pendatang tanpa izin. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset