TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Berebut kawasan perniagaan punca rusuhan di Desa Tun Razak

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 2 Nov. - Polis menahan sembilan individu berusia antara 16 hingga 44 tahun selepas dipercayai terlibat dalam kejadian merusuh di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi, di sini, malam tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.00 malam itu berpunca daripada perselisihan faham berhubung perebutan kawasan perniagaan di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, bertindak atas maklumat awal, sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah digerakkan ke lokasi bagi mengawal keadaan.

"Pihak polis berjaya menahan sembilan suspek terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita di sekitar lokasi kejadian, termasuk dua suspek utama kes berkenaan. Semakan mendapati sebahagian besar suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan narkotik."katanya dalam kenyataan media hari ini.

Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah beberapa barangan yang disyaki digunakan sebagai senjata semasa rusuhan berlaku.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Merusuh dengan Senjata) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan. Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Cheras (03-9205 0445 / 0465) atau mana-mana balai polis berhampiran.

+ - reset