TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dr Mohamad nafi seleweng cek zakat RM100,000 biayai lawatan ke Mesir

By
|
Kongsi
image

GEORGETOWN, 5 Nov. – Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid menafikan dakwaan beliau menyeleweng dan menggunakan cek zakat berjumlah RM100,000 bagi membiayai lawatan kerja delegasi kerajaan negeri ke Mesir tahun lalu.

Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid memaklumkan pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bahawa peruntukan kewangan bagi lawatan yang diketuai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ketika itu, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menggunakan Kumpulan Wang Pentadbiran dalam belanjawan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) 2025 dan bukannya dana kutipan zakat.

Kenyataan berkenaan dibuat bagi menjawab isu yang dibangkitkan Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) susulan dakwaan PAS Pulau Pinang bahawa wang zakat disalurkan ke dalam akaun peribadi seorang pegawai semasa delegasi terbabit berada di Mesir.

Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang permohonan dibuat kepada Zakat MAINPP dan tiada wang agihan zakat kepada asnaf, fakir miskin mahupun wang tawaquf yang digunakan bagi pembiayaan program terbabit.

Lawatan berkenaan turut menghasilkan beberapa pencapaian penting termasuk kerjasama pemindahan kredit (Mu'adalah) antara Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) dengan Universiti Al-Azhar, penyediaan asrama baharu, serta perasmian Perpustakaan Digital Pulau Pinang di Fakulti Syariah Universiti Al-Azhar.

Selain itu, delegasi turut mengadakan pertemuan bersama Presiden Universiti Al-Azhar, Kementerian Wakaf Mesir, serta lawatan ke Arab Saudi bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Universiti King Abdulaziz dan Presiden Universiti Islam Madinah.

Pada Mac lalu, Mohamad bersama MAINPP dan Zakat MAINPP telah memulakan tindakan undang-undang fasa pertama dengan mengemukakan surat tuntutan terhadap empat individu iaitu Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, Mohd Yusni Mat Piah, dan Muhammad Hafiz Alias berhubung penyebaran fitnah berkenaan. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset