Berita Viral
Keluar rumah sebelum 5.30 pagi, pelajar terpaksa beratur panjang tunggu bas di Pantai Dalam
KUALA LUMPUR 18 NOVEMBER – Belum pun matahari terbit, deretan panjang pengguna pengangkutan awam sudah kelihatan memenuhi kawasan perhentian bas di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai keselesaan dan kemudahan yang disediakan kepada mereka.
Situasi itu mendapat perhatian seorang pengguna Threads, Iownedme yang berkongsi keadaan luar biasa di perhentian bas berkenaan apabila orang ramai, termasuk pelajar sekolah dan golongan bekerja, terpaksa beratur seawal jam 5 pagi bagi mendapatkan perkhidmatan bas.
Menurutnya, keadaan itu bukan perkara baharu kerana barisan penumpang sering kelihatan panjang setiap pagi, namun situasi yang disaksikan kali ini jauh lebih ketara.
"Kadang-kadang kesian tengok seawal 5 pagi dah beratur panjang. Tapi pagi ni, fuhh! Panjang betul queue!" katanya menerusi perkongsian di Threads.
Lebih membimbangkan, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai waktu sebenar pelajar perlu meninggalkan rumah semata-mata untuk memastikan mereka tidak lewat tiba di sekolah.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kemudahan tempat menunggu berbumbung disediakan di sepanjang kaki lima kawasan berkenaan bagi melindungi penumpang daripada panas dan hujan ketika menanti bas.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang memberikan maklum balas menerusi ruangan komen dengan memaklumkan bahawa perkara berkenaan sudah dibincangkan bersama pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Salam, insya-Allah saya telah berbincang dengan pasukan DBKL minggu lalu untuk bina covered walkway termasuk di laluan ini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini menunggu perbincangan berkaitan kos di peringkat pengurusan DBKL sebelum usaha berkenaan dapat dilaksanakan.
"Dan insya-Allah kita akan usahakan segera," katanya.
Bagaimanapun, cadangan pembinaan laluan berbumbung itu turut mengundang pelbagai pandangan dalam kalangan pengguna media sosial yang melihat isu berkenaan perlu ditangani secara lebih menyeluruh, khususnya dari aspek kekerapan perkhidmatan bas.
Seorang pengguna, mommydoublem_ berkata, beliau pernah menyaksikan sendiri keadaan penumpang terpaksa meredah hujan ketika menunggu di kawasan lampu isyarat berkenaan pada jam 6.30 pagi.
Menurutnya, keadaan itu amat menyedihkan apabila melibatkan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah serta individu yang bekerja, terutama mereka yang tidak mempunyai payung.
Bagaimanapun, beliau berpandangan penyediaan tempat menunggu berbumbung sahaja belum tentu menyelesaikan masalah sekiranya tiada pemantauan sewajarnya terhadap penggunaan kawasan tersebut.
Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya jumlah bas ditambah atau jadual perjalanan dipertingkatkan bagi mengurangkan tempoh menunggu penumpang.
Pandangan sama turut disuarakan bidinalzaifa yang berpendapat masalah kesesakan barisan tidak akan selesai sekiranya jumlah bas yang beroperasi pada waktu puncak masih terhad.
"Letak bumbung pun orang akan beratur sampai 80 tahun selagi shift bas yang pertama yang gerak sebijik je," katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya sekurang-kurangnya lima bas disediakan bagi setiap lokasi untuk perjalanan awal pagi sebelum jumlah kenderaan dikurangkan semula sekitar jam 10 pagi.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, mariss._az mendedahkan anak saudaranya juga antara pelajar yang terpaksa berdepan situasi sama apabila perlu keluar dari rumah sebelum jam 5.30 pagi semata-mata untuk mendapatkan giliran menaiki bas.
Malah, keadaan itu menyebabkan pelajar berkenaan terpaksa menunaikan solat Subuh di sekolah.
Perkongsian tersebut sekali gus memperlihatkan cabaran yang terpaksa dilalui sebahagian pengguna pengangkutan awam setiap hari, khususnya golongan pelajar yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan bas untuk ke sekolah.
Isu berkenaan bukan sekadar berkaitan keperluan menyediakan tempat menunggu yang lebih selesa, sebaliknya turut membangkitkan persoalan mengenai kecukupan bas, kekerapan perjalanan serta keupayaan sistem pengangkutan awam memenuhi permintaan pengguna pada waktu puncak.
Rata-rata berharap tindakan susulan pihak berkaitan dapat dilaksanakan segera supaya rutin harian pengguna bas, khususnya pelajar sekolah, tidak terus dibebani tempoh menunggu yang panjang dalam keadaan cuaca tidak menentu.
Berita berkaitan
November 18, 2026, 5:43 pm
Lori remuk dihempap pokok tumbang, penunggang motosikal maut di Rawang
November 18, 2026, 12:53 pm
Suasana kecoh dekat LRT Pandan Jaya, netizen dakwa jumpa mayat
November 18, 2026, 11:43 am
Peniaga luluh hati tengok barang jualan dilempar oleh penghantar barangan
November 18, 2026, 9:49 am
Penduduk Alamsari resah, sekumpulan anjing liar kepung individu di taman perumahan
November 12, 2026, 5:44 pm
Pemandu kejam dipercayai gantung kucing luar tingkap di Johor
November 12, 2026, 2:02 pm
'Pemandu bukan warga Malaysia', pengguna jalan raya terkejut ayam dibawa dalam bakul tanpa plastik
November 12, 2026, 11:19 am
Belum sempat 24 jam, lelaki disyaki curi dompet berjaya dicekup polis di Cheras
November 11, 2026, 5:33 pm
'Tak rasa bersalah ke', orang ramai kongsi keadaan sungai dipenuhi sampah berikat
November 11, 2026, 2:53 pm
