TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Pemandu kejam dipercayai gantung kucing luar tingkap di Johor

By
|
Kongsi
image

KLUANG 12 NOVEMBER - Kejam, tidak berperikemanusiaan dan mengundang kemarahan warganet. 

Itu reaksi spontan orang ramai selepas sebuah rakaman video berdurasi beberapa saat memaparkan tindakan tidak akal seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda menggantung seekor kucing di luar badan kenderaan tular di media sosial.

Kejadian yang dipercayai berlaku di Batu 2, Jalan Mersing–Kluang di sini, mencetuskan gelombang ketidakpuasan hati dalam kalangan pencinta haiwan serta orang ramai. 

Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh portal komuniti tempatan, Kluanghariini, tindakan biadab itu segera meruntun jiwa masyarakat yang terkejut melihat nasib malang menimpa haiwan tidak berdosa terbabit di tengah jalan raya yang sibuk.

Berdasarkan paparan klip video berkenaan, kelihatan seekor kucing tergantung di bahagian luar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merah, malah rakaman itu turut merakamkan detik-detik ekor haiwan malang tersebut masih bergerak-gerak.

Keadaan itu membangkitkan pelbagai persoalan serta kecaman hebat daripada netizen yang menyifatkan pelaku sebagai individu yang hilang sifat belas kasihan. 
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kesal yang amat sangat terhadap sikap sambil lewa masyarakat sekeliling yang gagal memberikan pertolongan segera ataupun merakam nombor pendaftaran kenderaan dengan lebih jelas.

"Ekor dia goyang-goyang sikit, bermaksud ada kemungkinan masih hidup. Kenapa tidak tolong? Kenapa tidak rakam nombor plat kereta?" soal seorang pelayar, selenophilem00n_, di ruangan komen hantaran tersebut.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu membawa sedikit khabar lega apabila pihak pengurusan Kluanghariini mengesahkan bahawa maklumat penting berhubung kes terbabit telah diambil tindakan susulan.

"Nombor pendaftaran kereta telah diserahkan kepada pihak polis," demikian menurut kenyataan balas yang dikeluarkan pentadbir platform maya itu bagi meredakan keresahan awam.

Setakat ini, pihak berkuasa dijangka mengambil langkah tegas bagi mengesan pemilik kenderaan terbabit untuk membantu siasatan lanjut di bawah akta berkaitan penganiayaan haiwan. 

Insiden ini sekali lagi membuka mata masyarakat agar lebih peka dan tidak teragak-agak melaporkan sebarang bentuk penderaan kejam terhadap haiwan kepada pihak berkuasa demi menegakkan keadilan.

+ - reset