TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

'Pemandu bukan warga Malaysia', pengguna jalan raya terkejut ayam dibawa dalam bakul tanpa plastik

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 12 NOVEMBER - Seorang pengguna Threads meluahkan rasa terkejut selepas terserempak dengan penghantaran ayam yang dibawa begitu sahaja dalam bakul tanpa sebarang pembungkus, sebelum dijual kepada pengguna untuk dimakan.

Perkongsian yang dimuat naik oleh pengguna dikenali sebagai Acsoneg02 itu tular dan mencetuskan perbincangan dalam kalangan warganet. 

Ia turut disertakan rakaman video yang memaparkan keadaan ayam berkenaan.

Menurut lelaki itu, kejadian tersebut disaksikannya pagi tadi. Ayam tersebut dilihat diletakkan dalam bakul dan dibiarkan terdedah tanpa dilapik atau dibalut plastik.

“Terkejut tadi pagi tengok ayam macam tu saja dia bawa dalam bakul, tak ada letak plastik pun, terdedah macam tu saja. Lepas tu dijual pada orang untuk dimakan,” katanya dalam hantaran pertamanya di platform berkenaan.

Dia mendakwa penghantaran itu dilakukan oleh dua lelaki warga Pakistan yang bertindak sebagai pemandu kenderaan pengangkut.

Pengguna terbabit turut mendedahkan dirinya sudah berhenti makan ayam sejak isu bekalan ayam tidak halal yang menjadi perhatian ramai sebelum ini. Sebagai gantinya, dia memilih telur sebagai hidangan harian.

“Lepas kes ayam tak halal tu, saya dah tak makan ayam. Sanggup makan telur hari-hari. Hari ini pula jumpa macam ni,” luahnya dengan nada kecewa.

Hantaran itu menarik perhatian pengguna media sosial lain yang meninggalkan pelbagai reaksi di ruang komen. 

Ada yang mempersoalkan tahap kebersihan serta keselamatan makanan, manakala yang lain meminta pihak berkuasa memantau cara penghantaran bekalan daging di pasaran.

Pada masa ini, lokasi sebenar kejadian, identiti pembekal dan peniaga yang terlibat belum dapat disahkan. Pihak berkuasa juga belum mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Dari sudut peraturan, bekalan daging ayam sewajarnya dikendalikan dengan teliti kerana ia mudah rosak jika terdedah kepada suhu dan persekitaran terbuka. 
Pengendalian yang tidak teratur boleh meningkatkan risiko pencemaran kuman, sekali gus mengancam kesihatan pengguna.

+ - reset