TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Peniaga luluh hati tengok barang jualan dilempar oleh penghantar barangan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 NOVEMBER — Kegusaran berpanjangan golongan peniaga kecil yang membanting tulang mencari rezeki menerusi platform e-dagang sekali lagi mencetuskan perbalahan hangat di media sosial. 

Ia susulan sikap segelintir pekerja syarikat kurier yang didakwa bertindak sambil lewa terhadap amanah pelanggan. 

Keresahan itu semakin memuncak selepas tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan individu berseragam merah yang dilihat sesuka hati mencampak bungkusan ke dalam lori tanpa sebarang rasa bersalah, sekali gus meranapkan usaha penat lelah pengusaha produk makanan.

Bagi seorang usahawan dikenali sebagai Miraroslii, insiden sebegini bukan lagi perkara baharu, malah telah berulang kali merugikan pihak peniaga yang terpaksa menanggung reputasi tercalar akibat kecuaian pihak logistik. 

Keluhan yang dimuat naik menerusi hantaran media sosial itu mendedahkan betapa peritnya menelan kekecewaan apabila aduan rasmi yang diajukan sering kali bertepuk sebelah tangan tanpa sebarang pembelaan daripada pihak pengurusan.

"Seriously, sampai bila seller yang kena tanggung kecuaian pihak courier? Kami dah banyak kali complain customer service tapi tetap salahkan seller bila kuih hancur, kotak koyak, ada yang sampai kuih dah habis atau tinggal separuh kena makan," luah peniaga terbabit sambil menegaskan bahawa kos penyediaan bahan pembungkusan seperti kertas gelembung dan kotak tebal menelan perbelanjaan yang mahal.

Menyoroti kemelut itu, pengusaha produk berkenaan berkata, mereka tidak pernah mengambil mudah aspek keselamatan barang jualan kerana setiap bungkusan telah diikat rapi serta dilabelkan dengan tanda amaran khusus bagi memastikan ketibaan dalam keadaan selamat. 

Malangnya, tanda peringatan mudah pecah yang jelas terpampang pada kotak seolah-olah diendahkan begitu saja, sebelum disusuli alasan klise daripada pihak syarikat penghantaran yang kerap merujuk kepada lambakan beban kerja serta keletihan petugas lapangan.

"Sticker FRAGILE itu arahan untuk diberi perhatian bukan hiasan. Nanti bagi alasan penat, parcel banyak; habistu kami seller ni tak penat ke? Itu rezeki kami, kos bubble dan kotak wrapping bukan murah," tegasnya lagi tatkala menggesa syarikat logistik itu supaya segera memperketatkan pemantauan disiplin kerja serta menghulurkan ganti rugi setimpal.

Sehubungan dengan itu, pelbagai pihak kini melaungkan gesaan agar badan pengawalselia industri pos dan kurier mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat logistik yang gagal menjamin keselamatan barangan pengguna. 

Usahawan itu turut menuntut penjelasan daripada pihak J&T supaya insiden sedemikian tidak terus berulang dan menindas golongan peniaga tempatan yang hanya mengharapkan integriti demi kelangsungan mata pencarian harian.

+ - reset