TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Hiburan

Haiza lancar single ‘Pencuri’ selepas hampir sedekad tersimpan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 20 Nov. – Penyanyi dan penyampai radio, Haiza akhirnya melancarkan secara rasmi single terbaharunya berjudul Pencuri setelah karya berkenaan disimpan hampir sembilan tahun sejak dirakamkan pada 2017.

Menurut Haiza, lagu ciptaan penyanyi dan komposer Aepul Roza itu terhasil selepas beliau meminta Aepul mencipta sebuah lagu baharu ketika mereka bergandingan dalam program Duo Star terbitan Astro.

Jelas beliau, Pencuri tampil dengan pendekatan muzik yang lebih ringan dan santai berbanding karya-karya yang pernah dirakamkannya sebelum ini, selain pada asalnya tidak mempunyai tajuk sebelum beliau memilih nama Pencuri setelah berulang kali mendengarnya.

Perancangan untuk memperkenalkan lagu tersebut sebelum ini tertangguh akibat komitmen terhadap projek lain serta kesan pandemik Covid-19, sebelum beliau menyusun semula perancangan pada 2023 dan melihat tahun ini sebagai masa yang sesuai untuk pelancarannya.

Mengulas mengenai proses pembikinan, Haiza memaklumkan rakaman vokalnya dapat disiapkan dalam tempoh kurang tiga jam, namun beliau perlu menyesuaikan diri kerana lazim menyanyikan lagu berentak rancak, selain Aepul turut menekankan kejelasan sebutan lirik.

Sementara itu, Aepul berkata Pencuri menggabungkan konsep pop-elektronik dengan elemen dangdut moden atau hipdut yang mengisahkan seorang wanita jatuh cinta pandang pertama, dengan proses penulisan mengambil masa tujuh hari, praproduksi tiga hari, dan rakaman akhir lima hari.

Tambah Aepul, lagu itu dianggap mendahului trend muzik ketika dirakamkan sembilan tahun lalu sebagai satu eksperimen awal, namun peralihan cita rasa pendengar masa kini menjadikan konsep tersebut lebih serasi untuk diperdengarkan.

Selain itu, muzik video Pencuri menampilkan pelakon Ropie sebagai teraju utama dengan konsep Siapa Dia Sebelum Dia yang bertindak sebagai prekuel kepada kisah dalam muzik video Young & Gentleman.

Lagu Pencuri kini boleh distrim di platform digital, manakala muzik videonya dijadualkan menemui penonton pada jam 3 petang ini menerusi saluran YouTube Indigital Music. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset