TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Malim gunung didakwa ugut wanita supaya jadi kekasih, ancam tinggal di tengah hutan di Gunung Gap Gus

By
|
Kongsi
image

KUALA KUBU BARU 20 NOVEMBER - Seorang wanita mendakwa berdepan detik mencemaskan apabila seorang malim gunung didakwa mengugut untuk meninggalkannya di tengah hutan sekiranya enggan menerima lelaki itu sebagai teman lelaki ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Gap Gus.

Lebih membimbangkan, mangsa mendakwa lelaki terbabit turut memberi tekanan dengan meminta dirinya menerima hubungan tersebut, selain mengeluarkan kenyataan berbaur gangguan seksual sehingga menyebabkan dia ketakutan dan tidak tahu bagaimana untuk menyelamatkan diri.

Kejadian itu didedahkan menerusi satu perkongsian pengguna Threads, @healang.4_healing, yang meluahkan pengalaman pahitnya ketika menyertai aktiviti mendaki gunung berkenaan baru-baru ini.

Menurut wanita itu, lelaki terbabit dikatakan mengugut untuk meninggalkannya bersendirian di dalam hutan serta memberitahu anggota kumpulan pendakian bahawa mereka sudah pulang sekiranya dia enggan menerima lelaki berkenaan sebagai teman lelaki.

"Gunung Gapgus MGP tu ugut aku untuk terima dia as boyfriend. Kalau tidak, dia akan tinggalkan aku tengah hutan dan beritahu team aku dah balik," dakwanya menerusi perkongsian tersebut.

Lebih meresahkan, mangsa berkata situasi itu berlaku ketika kumpulannya sudah meninggalkannya atas arahan lelaki terbabit yang kononnya mahu menjaganya sepanjang perjalanan.

Katanya, dia ketika itu dalam perjalanan menyelesaikan pendakian sebuah gunung sebelum meneruskan perjalanan ke gunung kedua, sekali gus berdepan dilema sama ada mahu berpatah balik atau meneruskan perjalanan.

"Sumpah aku takut masa ni sebab team aku dah tinggalkan aku. Dia pula dok ugut minta couple. Kalau tidak, dia akan tinggalkan aku," katanya.

Mangsa turut mendakwa lelaki berkenaan beberapa kali menyebut bahawa dia gemar melihat wanita yang mempunyai bentuk badan tertentu, sekali gus menambahkan kebimbangannya terhadap keselamatan diri.

Keadaan itu menyebabkan wanita terbabit menangis kerana tidak tahu tindakan yang perlu diambil ketika berada jauh di dalam hutan tanpa kepastian sama ada dirinya dapat keluar dengan selamat.

Bagaimanapun, dia bersyukur apabila seorang anggota kumpulan yang bertugas sebagai sweeper masih menunggunya, selain talian WhatsApp yang membolehkannya berhubung dengan individu berkenaan.

Dalam perkongsian sama, wanita itu turut meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa tiada tindakan diambil terhadap individu terbabit, sedangkan dia pernah berhadapan pengalaman gangguan seksual dan mendapatkan bantuan polis sebelum ini.

Menurutnya, pengalaman terdahulu juga mengecewakan apabila laporan yang dibuat dikatakan tidak dapat diteruskan kerana kekurangan bukti, meskipun dia mempunyai rakaman suara berkaitan kejadian berkenaan.

"Aku tak suka isu ni orang pandang remeh sebab aku pernah berurusan dengan polis pun masih tak menang. Susah nak ada bukti. Walaupun aku ada rekod suara, polis cakap tak boleh jadi bukti," luahnya.

Wanita itu turut mengakui pengalaman berdepan gangguan sejak zaman persekolahan sehingga kini memberi kesan mendalam terhadap dirinya, selain mengingatkan bahawa seseorang yang kelihatan baik di hadapan orang lain tidak semestinya mempunyai sikap sama di sebalik tabir.

Perkongsian tersebut mengundang perhatian terhadap aspek keselamatan wanita dalam aktiviti pendakian, khususnya apabila melibatkan kepercayaan kepada individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus serta membantu peserta sepanjang perjalanan.

+ - reset