TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Pemandu warga asing dikejar dipercayai rempuh sekumpulan penunggang motosikal di KL

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 NOVEMBER - Seorang individu dipercayai warga asing didakwa merempuh beberapa penunggang motosikal semasa memandu kenderaan jenis Hilux berhampiran Menara MARA sebelum dikejar baru-baru ini.

Rakaman berdurasi lebih seminit yang dimuat naik menerusi perkongsian Aleyxhogan menarik perhatian ramai selepas memaparkan detik jentera pacuan empat roda itu cuba melarikan diri.

Lokasi kejadian dikatakan bermula di sekitar laluan berhampiran Menara MARA di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum pengejaran berlanjutan ke arah kawasan Chow Kit berhampiran papan tanda Bistari Condominium. 

Beberapa penunggang motosikal kelihatan rebah di atas permukaan jalan akibat pelanggaran awal tersebut, manakala sekumpulan pengguna jalan raya lain dilihat mengejar kenderaan itu sehingga mencetuskan kekecohan di pintu masuk kondominium berkenaan.

Dakwaan awal yang tular di media sosial mendakwa pemandu itu merupakan warga asing dan peristiwa dikatakan berpunca apabila suspek mula melanggar penunggang motosikal di sekitar kawasan MARA sebelum keadaan menjadi semakin tegang. 

Setakat ini, belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak polis berhubung butiran penuh kemalangan, termasuk sama ada laporan telah dibuat, tahap kecederaan mangsa mahupun status serta identiti sebenar pemandu yang terlibat. 

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan andaian yang belum sahih dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk menyiasat insiden tersebut mengikut saluran undang-undang.

+ - reset