TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

'Amboi siap hon lagi itu', pemandu langgar lampu merah di kawasan sekolah terima kecaman ramai

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 NOVEMBER -Tindakan biadap pemandu yang didakwa membunyikan hon terhadap seorang pelajar yang sedang melintas di lintasan pejalan kaki berhampiran kawasan sekolah mengundang perhatian ramai.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang dikongsikan seorang pengguna media sosial, Mrhanzv, kelihatan sebuah kenderaan berhenti di persimpangan lampu isyarat yang sedang menunjukkan warna merah.

Situasi itu turut memperlihatkan kawasan lintasan pejalan kaki di hadapan kenderaan berkenaan, sebelum seorang pelajar melintas jalan.

Bagaimanapun, tindakan pemandu yang didakwa membunyikan hon ketika individu itu masih berada di lintasan tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial.

Menerusi perkongsian itu, Mrhanzv meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap pemandu berkenaan yang disifatkan tidak bertimbang rasa, lebih-lebih lagi kejadian berlaku berhampiran kawasan sekolah.

"Amboi… dah la lampu merah, dekat sekolah… Ada budak tengah melintas… siap hon budak tu lagi tu…," tulisnya menerusi perkongsian berkenaan.

Rakaman itu sekali gus mengundang perhatian terhadap sikap segelintir pengguna jalan raya yang didakwa kurang mengutamakan keselamatan pejalan kaki, khususnya kanak-kanak.

Kawasan sekolah sepatutnya menjadi lokasi yang memerlukan tahap kewaspadaan lebih tinggi daripada setiap pemandu memandangkan pergerakan murid yang melintas jalan merupakan perkara biasa, terutama ketika waktu persekolahan.

Dalam keadaan sedemikian, kesabaran dan sikap bertimbang rasa amat penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, apatah lagi apabila melibatkan golongan kanak-kanak yang lebih terdedah kepada risiko kemalangan.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi isyarat lalu lintas serta memberikan keutamaan kepada keselamatan pejalan kaki ketika berada di lintasan yang disediakan.

+ - reset