TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Seri di Ratchaburi, taktikal Munoz terus dipersoal penyokong JDT

By
|
Kongsi
image

RATCHABURI 25 NOVEMBER - Keputusan seri 1-1 yang diraih Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang tuan rumah, Ratchaburi FC dalam aksi Liga Juara-Juara Elit Asia (ACLE) semalam mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong Harimau Selatan apabila pendekatan taktikal pengendali, Xisco Munoz, mula dipersoalkan.

Dalam perlawanan di Stadium Ratchaburi itu, skuad kendalian Munoz bermula garang dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi Marcos Guilherme pada minit ke-36 sebelum pasukan bimbingan Worrawoot Srimaka bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-56 hasil rembatan deras Njiva Rakotoharimalala.

Munoz yang berasal dari Sepanyol menyifatkan pertemuan itu berlangsung dalam suasana sengit, khususnya apabila anak buahnya berdepan kesukaran mengekalkan rentak selepas waktu rehat.

"Prestasi kami tampak begitu baik di babak pertama, tetapi apabila keadaan menjadi sukar tatkala pasukan lawan beri tekanan dan menutup ruang buat kami bergerak, ia menjadi sukar untuk pemain kami menyusun strategi permainan," katanya.

Bekas jurulatih Sheffield Wednesday itu turut menjelaskan bahawa cabaran di pentas elit benua menuntut ketahanan mental serta fizikal yang tinggi berikutan perbezaan intensiti dan karakter permainan.

"Dalam saingan ACLE di mana terdapat perbezaan besar dari segi tahap permainan, personaliti dan pelbagai aspek lain, perkara sebegitu memang boleh berlaku. Bagaimanapun, kami berjaya membawa pulang satu mata dan perlu memperbaiki lagi disiplin taktikal bagi mengharungi aksi seterusnya," ujarnya.

Menjelang perlawanan berikutnya menentang kelab Korea Selatan, Daejeon Hana Citizen FC di gelanggang sendiri, Munoz bertekad menampilkan persembahan lebih meyakinkan di hadapan penyokong setia.

Meskipun Munoz menegaskan bahawa pelan taktikalnya kekal sama namun mengakui pihak lawan menguasai 20 minit awal babak kedua, sebahagian pengikut setia JDT meluahkan rasa kurang senang terhadap percaturan di atas padang.

Seorang penyokong, Muhammad Hazim, mempertikaikan keputusan meletakkan pemain tertentu di posisi serangan utama berbanding sayap, manakala Badrul Hisham berpandangan corak permainan hantaran pendek, asakan berterusan serta perancangan dari bawah seolah-olah semakin pudar.

Pandangan senada turut dikongsikan oleh pengguna media sosial yang menggunakan nama Mykasutshop Main apabila menyifatkan pendekatan strategi pasukan kali ini kurang berkesan, sementara Merah Merah berpendapat susunan posisi pemain serta pergerakan di bahagian tengah perlu diperkemas agar gandingan skuad kekal seimbang.

JDT kini perlu segera bangkit memperkemas keserasian serta ketajaman penyudah menjelang aksi seterusnya bagi memastikan misi mengutip mata penuh di laman sendiri tercapai.

+ - reset