TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Fans Indonesia gigil, dakwa Bojan Hodak tahu kelemahan semua pemain Sang Garuda

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 NOVEMBER - Pelantikan rasmi jurulatih kelahiran Croatia, Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih baharu skuad bola sepak kebangsaan mencetuskan kegusaran dalam kalangan penyokong setia Indonesia yang menyifatkan kehadiran pengendali berpengalaman itu sebagai ancaman besar buat pasukan Sang Garuda.

Kebimbangan itu mula membanjiri ruangan media sosial sejurus Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan pengendali berusia 55 tahun itu bagi menggantikan Peter Cklamovski yang berhijrah ke kelab Liga Dua Inggeris, Salford City pada penghujung Jun lalu.

Rata-rata peminat bola sepak negara jiran itu berpendapat reputasi cemerlang bekas pengurus Persib Bandung tersebut yang berjaya merangkul kejuaraan Liga Super Indonesia sebanyak tiga musim berturut-turut memberikan kelebihan taktikal luar biasa kepada Harimau Malaya, khususnya dalam memahami corak permainan serta titik kelemahan tonggak utama skuad Garuda.

Seorang penyokong Indonesia menerusi akaun media sosialnya, Rizal BF, memberi amaran kepada barisan kejurulatihan negaranya agar sentiasa berwaspada dengan pendekatan taktikal yang bakal diterapkan oleh jurulatih tersebut.

"Waspada timnas Indonesia, jurulatih Bojan sedang meracik pertahanan mantap dan serangan balas yang mematikan," tulisnya.

Sentimen sama turut dikongsikan oleh seorang lagi pemerhati bola sepak republik itu, Putra S, yang menganggap kepulangan semula jurulatih berkenaan ke Malaysia sebagai satu percaturan bijak oleh FAM memandangkan beliau pernah membimbing beberapa tonggak utama kebangsaan Indonesia ketika bersama kelab gergasi Jawa Barat itu.

"Bijak membawa kembali Bojan pulang ke Malaysia ketika skuad negara itu sukar menewaskan Indonesia kerana beliau pastinya sudah masak dengan taktikal permainan Sang Garuda, apatah lagi selepas meraih kejuaraan hatrik bersama Persib Bandung yang dibarisi beberapa tonggak utama skuad kebangsaan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi peminat dikenali sebagai Van Rudy secara berseloroh mendakwa tempoh perkhidmatan jurulatih tersebut di Bandung sebelum ini seolah-olah menjadi medan mengkaji kekuatan pemain Indonesia sebelum kembali mencurah bakti bersama skuad kebangsaan Malaysia, manakala Guarsa Sugema Wibiksana pula melontarkan persoalan mengenai kemampuan pengendali itu mengulangi magis kejuaraan sama di pentas antarabangsa.

Dalam pada itu, Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan bahawa pemilihan Bojan dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam kancah bola sepak tempatan serta rantau Asia Tenggara.

"FAM percaya pengalaman luas Bojan dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara menjadi kelebihan utama dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan. Rekod cemerlang beliau bersama pelbagai kelab di Malaysia dan Indonesia membuktikan keupayaannya membentuk pasukan yang berdaya saing," katanya.

Bojan sebelum ini meninggalkan legasi gemilang dalam saingan Liga Malaysia apabila pernah membimbing Kelantan, Johor Darul Ta'zim (JDT) serta Kuala Lumpur City, selain pernah memegang peranan pengurusan di Pulau Pinang sebelum berhijrah ke Indonesia dan melepaskan jawatan ketua jurulatih Persib pada Mei lalu kepada pembantunya, Igor Tolic bagi menggalas tugas penasihat teknikal.

+ - reset