TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Stesen radio dikecam lepas buat 'content' solat untuk Man United

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 NOVEMBER - Tindakan sebuah stesen radio memuat naik rakaman video bertajuk “Praying for Man United” yang memaparkan dua individu melakukan gerakan menyerupai ibadah solat mengundang kecaman ramai kerana didakwa mempermainkan kesucian agama Islam.

Dalam klip berdurasi kira-kira 11 saat itu, dua lelaki kelihatan berada di ruang studio sambil memaparkan skor perlawanan bola sepak antara Sporting CP dan Manchester United, sebelum melakukan pergerakan seperti rukuk dan sujud. 
Hantaran itu mencetuskan perdebatan hangat apabila sebahagian besar pengguna media sosial menyifatkan kandungan hiburan berkenaan melampaui batas sensitiviti keagamaan.

Seorang pengguna media sosial, amy.mc_queen, tampil mempersoalkan kewajaran penerbitan video tersebut dengan menegaskan bahawa unsur ibadah tidak wajar dijadikan bahan jenaka semata-mata untuk menarik perhatian ramai.

“Bagi aku ini totally mempersendakan agama aku guys, banyak lagi konten boleh buat tapi kalau dah main bab sembahyang ni, lepastu dengan tata tertib semua salah, apabenda ni?” katanya menerusi perkongsian yang tular.

Beliau turut menyuarakan kekecewaan mendalam terhadap sikap segelintir pihak yang mudah menjadikan ajaran Islam sebagai bahan gurauan sedangkan generasi terdahulu berkorban demi mempertahankan syiar agama.

Sementara itu, rata-rata netizen berpandangan bahawa sokongan terhadap pasukan bola sepak kegemaran adalah perkara biasa, namun kaedah penyampaian dalam rakaman tersebut dianggap tidak tepat serta mengelirukan.

Seorang warganet, hamsterbam_, menjelaskan bahawa memohon kejayaan pasukan pilihan tidak menjadi kesalahan, tetapi menggambarkan perbuatan solat khusus demi kemenangan kelab sukan merupakan kekhilafan yang ketara.

Pandangan senada turut dilontarkan oleh gelora2480 yang menyarankan agar pihak radio mencari idea kreatif lain tanpa menyentuh aspek keagamaan atau mana-mana kepercayaan penganut.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, shameeryusoff, menggariskan perbezaan jelas antara berdoa dengan menunaikan solat yang merupakan ibadah khusus serta tertakluk kepada syarat dan rukun tertentu.

“Ia salah. Pray for it and perform prayer are 2 different thing. Walaupon bergurau, is tetap salah dan berdosa,” ujarnya sambil mengingatkan bahawa perbuatan tersebut perlu disusuli dengan permohonan keampunan sekiranya dilakukan tanpa niat menghina.

Pengguna lain seperti zahra.sabrine55 dan mkabmr turut mempertikai status serta susunan kedudukan individu terbabit dalam rakaman berkenaan, manakala aeroestrides secara terbuka menyatakan bahawa paparan itu jelas memperlekehkan syariat Islam

+ - reset