Berita Hiburan
Mimi Fly akur teguran, turun MV lagu raya ‘Serumpun’ dari YouTube
PETALING JAYA 19 Mac - Penyanyi Mimi Fly mengambil keputusan untuk menurunkan muzik video (MV) lagu raya Serumpun dari YouTube selepas menerima pelbagai teguran, termasuk dari Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof. Madya Luqman Abdullah.
Menurut Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norisham, 38, dia menerima banyak reaksi daripada peminat dan pendengar muzik, ada yang positif dan ada juga yang bimbang dengan pendekatan seninya yang mungkin disalah tafsir.
“Saya sudah menerima teguran daripada Mufti Wilayah Persekutuan serta nasihat dari pelbagai pihak. Saya akur dengan kekhilafan dan telah menurunkan video tersebut,” katanya menerusi satu perkongsian di Instagram.
Bekas anggota kumpulan One Nation Emcees itu turut memaklumkan bahawa kru produksi telah melakukan gubahan semula pada MV berkenaan, yang kini dilancarkan semula.
“Lagu gubahan ini bertujuan meraikan kepelbagaian budaya. Kru produksi sudah membuat perubahan dan video baharu telah dilancarkan semula,” katanya.
Mimi juga menegaskan bahawa niatnya bukan untuk mencetuskan kontroversi atau menghina agama, sebaliknya ingin menghasilkan karya berkualiti.
“Saya seorang anak Melayu, tiada niat untuk menghina agama atau budaya kita. Sebagai anak seni, saya mahu pastikan karya saya diterima dan berkualiti. Saya manusia biasa dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
“Terima kasih atas teguran dan kritikan yang membina. Saya mohon maaf dan harap anda terus menyokong Serumpun,” katanya lagi.
Terdahulu, MV Serumpun menerima reaksi negatif kerana busana yang digayakan Mimi dikatakan tidak sopan untuk lagu bertemakan Aidilfitri.
Isu tersebut turut mendapat perhatian Wanita Amanah Wilayah Persekutuan yang mendakwa video berkenaan bertentangan dengan ajaran Islam serta tidak menggambarkan maksud sebenar Aidilfitri.
Dalam MV berkenaan, Mimi tampil dalam pakaian klasik Melayu, Jawa serta etnik Thai sebagai simbol kepelbagaian budaya yang turut meraikan Aidilfitri walaupun berbeza asal-usul. - Media Telus
Berita berkaitan
October 28, 2026, 12:09 pm
Filem KUDRAT 1968: High Council rai RM3 juta jualan tiket awal sebelum tayangan rasmi
October 28, 2026, 10:59 am
Pernah mengacarakan program Malaysia, video lama Rina Nose dipermalukan di Indonesia kembali tular
October 27, 2026, 2:56 pm
Tindakan tetamu tarik leher Bella Astillah di majlis resepsi undang kecaman netizen
October 8, 2026, 4:14 pm
'Settle dulu EPF pekerja', Jep Sepahtu muak jadi bahan 'marketing'
October 8, 2026, 10:59 am
Alif Satar bersuara isu provokasi bola sepak jenama Indonesia
October 2, 2026, 1:09 pm
Pengorbanan jaga ibu terbalas, adik sebak terima kereta mewah daripada Azhan Rani
September 30, 2026, 8:07 pm
Penyanyi rock legenda Nash kemalangan lepas balik dari surau
September 27, 2026, 4:18 pm
Rita Rudaini gesa pihak sekolah tidak lindungi pembuli, ambil tindakan seawal aduan pertama
September 26, 2026, 1:30 pm
Zahnita Wilson selamat bergelar isteri Farouk Osman dengan sekali lafaz
September 17, 2026, 4:41 pm
