TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sarawak dakwa Petronas beroperasi secara haram, beri tempoh 21 hari dapatkan lesen

By
|
Kongsi
image

MIRI 2 Mei - Kerajaan Sarawak telah menghantar surat tuntutan kepada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) berhubung dakwaan pengoperasian secara haram sebuah loji milik syarikat itu di Miri Crude Oil Terminal (MCOT), Desa Senadin, dekat sini.

Menurut laporan Utusan Malaysia, kerajaan negeri melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mendakwa loji berkenaan beroperasi tanpa permit di bawah Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas 2016 yang merangkumi aktiviti membina, mengurus atau menyelenggara saluran paip gas serta peralatan berkaitan bagi pengagihan gas asli (NG).

“Sehubungan dengan perkara di atas, syarikat anda adalah dengan itu telah melanggar Seksyen 7(e) di bawah Ordinan tersebut,” menurut kandungan surat bertarikh 30 April 2025 itu.

Susulan pelanggaran itu, kerajaan negeri menetapkan tempoh 21 hari kepada PCSB untuk mendapatkan lesen berkaitan atau berdepan penalti kewangan sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 21A ordinan sama.

“Sila ambil perhatian sekiranya anda meneruskan aktiviti yang dinyatakan di atas di loji tersebut tanpa memperoleh lesen yang dikehendaki di bawah Seksyen 7(e) dalam tempoh 21 hari dari tarikh surat ini, penalti kewangan akan dikenakan ke atas anda,” jelas surat berkenaan.

Kes ini dijangka meruncingkan lagi hubungan antara Sarawak dan Petronas, terutama selepas negeri itu meningkatkan tekanan terhadap syarikat minyak negara itu supaya mengiktiraf Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai agregator gas tunggal di negeri berkenaan.

Sebagai rekod, Petros ditubuhkan pada 2017 oleh kerajaan negeri bagi memperkukuh kawalan terhadap sumber minyak dan gas Sarawak, manakala Petronas adalah entiti persekutuan yang beroperasi di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA).

Sebelum ini, Petros turut memfailkan saman terhadap Petronas bagi menuntut bayaran bekalan gas asli, dan cubaan Petronas untuk menghentikan perbicaraan itu telah gagal.

Terdahulu, pada 1 April lalu, seorang bekas pengurus Petronas didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas pertuduhan cubaan membocorkan dokumen sulit operasi dan kewangan syarikat kepada Petros pada Jun tahun lalu.

+ - reset