TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Aksi 'Superman' di Lebuhraya SPDH: Dua remaja ditahan polis

By
|
Kongsi
image

PORT DICKSON 2 Mei - Dua remaja lelaki ditahan selepas dikesan menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ala ‘superman’ di Kilometer 29.2 Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH), petang Khamis.

Menurut Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Port Dickson, kedua-dua remaja yang merupakan pelajar dari Nilai dan Klang itu ditahan sekitar jam 6.15 petang ketika Ops Samseng Jalanan sedang dijalankan.

“Tindakan mereka bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah pengguna jalan raya lain. Kedua-dua mereka bersama motosikal telah dibawa ke Balai Trafik untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu di Facebook rasmi BSPT IPD Port Dickson.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

Polis Tegas, Ibu Bapa Diminta Pantau Anak

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan, terutamanya dalam kalangan remaja.

“Pihak sekolah, ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan penting dalam mendidik dan memantau anak-anak agar tidak terjebak dengan perlakuan berisiko tinggi seperti ini,” tambah kenyataan itu.

Insiden ini mencerminkan kebimbangan berterusan pihak berkuasa terhadap sikap cuai dan tidak bertanggungjawab penunggang muda yang boleh membawa kepada tragedi. - Media Telus

+ - reset