TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cuti Rafizi hanya beberapa hari, tak perlu dijadikan isu - Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LANGAT 2 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis spekulasi berhubung cuti Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan menyifatkan perkara itu tidak perlu diperbesar-besarkan.

Menurut Anwar, cuti yang diambil oleh Rafizi hanyalah untuk beberapa hari dan bukannya “cuti panjang” seperti yang digembar-gemburkan di media sosial dan portal berita.

“(Rafizi cuti hanya) beberapa hari. Bagilah dia cuti. Tak ada isu,” katanya ringkas kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Saujana Putra, hari ini.

Terdahulu, desas-desus mengenai cuti Rafizi mencetuskan perbincangan hangat di kalangan ahli dan akar umbi PKR, apatah lagi ia berlaku menjelang proses pencalonan Pemilihan Keadilan 2025 yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.

Anwar juga sebelum ini dilaporkan telah memaklumkan perkembangan berkenaan dalam mesyuarat Kabinet, namun tidak mengulas lanjut mengenainya.

Anwar Juga Mahu Ambil Cuti

Dalam nada berseloroh, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau sendiri belum bercuti sejak menjawat jawatan Perdana Menteri dan sedang mempertimbangkan untuk berehat seketika selepas Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.

“Saya pun nak cari beberapa hari nak cuti. Lepas Sidang Kemuncak (ASEAN), boleh tak bagi saya beberapa hari cuti?” katanya sambil tertawa.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 dan 27 Mei ini, yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin utama rantau Asia Tenggara bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi yang mampan dan inklusif. - Media Telus

+ - reset