TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Seorang maut, 2 parah babit 3 RXZ bertembung di LPT2

By
|
Kongsi
image

 

KUALA TERENGGANU 2 Mei - Seorang lelaki maut manakala dua lagi parah dalam satu kemalangan membabitkan tiga motosikal jenis Yamaha RXZ di Kilometer (Km) 430 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Kuala Terengganu, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kira-kira jam 8.45 pagi pihaknya menerima makluman berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, ketiga-tiga motosikal terbabit datang dari arah Kelantan menuju ke Kuantan, Pahang.

Katanya, siasatan awal mendapati semasa motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 29 tahun sedang bergerak di lorong kecemasan, ia tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh motosikal yang ditunggang Mohamad Faizal Adam Azhar, 31, yang maut dalam kejadian itu.

"Motosikal yang ditunggang Mohamad Faizal, kemudian mengelungsur ke hadapan dan merempuh motosikal yang ditunggang lelaki berusia 26 tahun.

"Akibat kemalangan tersebut, ketiga-tiga motosikal terjatuh dan terseret di atas jalan dan kemudian motosikal yang ditunggang Mohamad Faizal, tercampak ke dalam longkang konkrit," katanya.

Tambah beliau, Mohamad Faizal yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

"Kedua-dua mangsa yang dikejarkan ke HSNZ mengalami kecederaan parah di kepala."

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke unit forensik HSNZ untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Azli berkata, pihaknya difahamkan kesemua mangsa dalam perjalanan untuk menghadiri program RXZ Fighter di Kuantan, Pahang.

 

+ - reset