TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rangka manusia ditemui belakang rumah milik lelaki hilang sejak Julai tahun lalu

By
|
Kongsi
image

BERA 3 Mei - Satu rangka manusia bersama tengkorak ditemukan di kawasan semak berhampiran belakang sebuah rumah di Felda Bukit Mendi, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu sekitar jam 11.50 malam, selepas seorang lelaki menjumpai rangka berkenaan ketika membersihkan kawasan semak dan meracun rumput sekitar jam 4 petang.

Menurutnya, lelaki berusia 36 tahun itu pada awalnya menyangka rangka tersebut hanyalah patung, namun selepas berbincang dengan rakan, dia memutuskan untuk membuat laporan polis.

“Rangka manusia itu ditemui kira-kira 100 meter dari belakang rumah berkenaan, di kawasan rizab Felda yang berpaya dan dipenuhi semak samun.

“Polis turut menemukan beberapa helai pakaian termasuk baju, seluar dan jaket dalam keadaan berselerakan berhampiran lokasi penemuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, rangka itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera bagi proses pengecaman dan siasatan lanjut.

Katanya lagi, pihak polis sebelum ini menerima laporan orang hilang pada Julai 2024 melibatkan seorang lelaki berusia 48 tahun yang tinggal di Felda Bukit Mendi.

“Keluarga mangsa yang hilang telah dihubungi dan mereka mengesahkan pakaian yang ditemui itu sepadan dengan yang dipakai mangsa ketika dilaporkan hilang,” katanya. 

+ - reset