Berita Berita
Remaja parah jatuh longkang dikejar anjing liar di Bandar Tasik Puteri

RAWANG 3 Mei - Seorang remaja lelaki mengalami kecederaan parah selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada sekumpulan anjing liar dalam kejadian di Jalan 6/40, Blok 6 Primula Julian, Bandar Tasik Puteri, semalam.
Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Sa'di Mohd Sufian, 14, berkata dia bersama rakannya, Muhammad Adeeb Naqiuddin Mohd Zarawi, 14, sedang dalam perjalanan pulang dari kelas KAFA menengah di Sekolah Rendah Agama As Sadiqqin kira-kira jam 11.10 pagi.
"Ketika melalui kawasan itu, terdapat sekumpulan anjing mengejar Adeeb yang berada di hadapan saya. Saya lihat Adeeb melanggar pembahagi jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang.
"Saya nampak kayu dan melibas anjing-anjing berkenaan menyebabkan haiwan terbabit bertempiaran lari. Beberapa orang ramai yang berada di lokasi itu kemudian datang membantu kami," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Sementara itu, bapa kepada Adeeb, Mohd Zarawi Manaf, 47, memaklumkan bahawa anak keempat daripada lima beradik itu telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan segera.
"Saya dimaklumkan oleh pihak doktor bahawa dia mengalami lebam di bahagian hati, limpa dan buah pinggang selain calar di perut serta dagu.
"Semalam, anak saya ditempatkan di zon pemantauan rapi apabila dihantar ke Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), malam tadi," katanya ketika ditemui di kediamannya.
Mohd Zarawi, yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Indah Heights Blok 6, menegaskan bahawa isu anjing liar di kawasan tersebut telah lama dibangkitkan kepada pihak berkuasa tempatan.
"Sudah banyak aduan dikemukakan penduduk berhubung isu itu kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memandangkan ia bukan kali pertama kes serangan anjing liar berlaku di kawasan ini.
"Sebelum ini, ada seorang wanita cedera akibat digigit oleh anjing liar di lokasi sama anak diserang anjing liar. Malah, anak bongsu saya pernah balik rumah dalam keadaan menangis selepas dikejar anjing liar," katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tasik Puteri 2, Ahmad Fitri Zainul turut meluahkan kebimbangan terhadap isu keselamatan pelajar.
"Sekolah kami hanya bersebelahan dengan Sekolah Rendah Agama As Sadiqqin dan pernah ada kejadian anjing liar masuk ke dalam surau (sekolah).
"Kami juga sudah membuat aduan kepada pihak MPS serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung isu itu," katanya.
Beliau berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa untuk mengelakkan kejadian serupa berulang.
"Pagi tadi, saya lalu lokasi kejadian dan terserempak dengan empat ekor anjing liar. Melihat keadaan itu, saya bimbang akan ada lagi mangsa serangan anjing liar terutama dalam kalangan pelajar.
"Kami harap anjing-anjing liar dapat ditangkap oleh pihak berkuasa bagi memastikan kawasan ini bebas daripada haiwan berkenaan," katanya.
Berita berkaitan
May 3, 2025, 1:01 pm
M Nasir jumpa Anwar bincang soal industri kreatif
May 3, 2025, 11:55 am
Rangka manusia ditemui belakang rumah milik lelaki hilang sejak Julai tahun lalu
May 3, 2025, 11:21 am
Anggap pemilihan parti tak adil, Rafizi luah hasrat nak letak jawatan
May 3, 2025, 10:56 am
Guru tikam anak 11 tahun guna pisau pemotong sayur direman 7 hari
May 3, 2025, 10:04 am
Budak 10 tahuh maut, 10 cedera dalam nahas babit 3 kenderaan di Kota Tinggi
May 2, 2025, 7:11 pm
Seorang maut, 2 parah babit 3 RXZ bertembung di LPT2
May 2, 2025, 3:36 pm
Kertas siasatan Ahli Parlimen Raub sudah dihantar ke Bukit Aman
May 2, 2025, 3:15 pm
FOMCA: Vape ancam kesihatan, keselamatan negara, bukan sekadar perniagaan
May 2, 2025, 3:07 pm