TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tarif balas AS ke atas Malaysia mungkin dikurangkan – Anwar

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan mengurangkan kadar tarif balas sebanyak 24 peratus yang dikenakan terhadap Malaysia, namun perbincangan masih di peringkat awal tanpa sebarang keputusan muktamad, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian dalam sesi penerangan khas berkenaan isu tarif AS di Dewan Rakyat hari ini, sambil memaklumkan bahawa kerajaan AS bersetuju untuk meneruskan rundingan lanjut berhubung isu berkenaan.

"Kerajaan AS bersetuju untuk mengadakan rundingan lebih lanjut dan setakat ini terdapat kemungkinan untuk kurangkan tarif timbal balik dikenakan ke atas Malaysia.

"Namun, sekali lagi ditegaskan bahawa proses ini masih berada pada peringkat awal, tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak," katanya.

Anwar menegaskan bahawa tiada komitmen muktamad dibuat oleh kedua-dua pihak, malah segala perbincangan tertakluk kepada perjanjian tidak mendedahkan maklumat (non-disclosure agreement, NDA) selaras dengan amalan antarabangsa, memandangkan rundingan melibatkan kepentingan strategik dan sensitif.

"Tambahan pula, segala perbincangan yang sedang berjalan tertakluk kepada non-disclosure agreement (NDA), selaras dengan amalan antarabangsa apabila isu rundingan membabitkan kepentingan strategik dan sensitif.

"Sekiranya ada cadangan dasar yang memerlukan kelulusan, ia akan melalui proses semakan menyeluruh termasuk di peringkat Kabinet dan, jika perlu, dibentangkan kepada Parlimen," katanya.

Perdana Menteri turut menolak dakwaan bahawa Malaysia mengenakan tarif sehingga 47 peratus ke atas import dari AS, seperti yang dijadikan asas oleh negara itu untuk mengenakan tarif balas.

Menurutnya, pengiraan oleh pihak AS adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan kadar tarif sebenar.

"Dakwaan ini digunakan sebagai asas untuk mengenakan tarif timbal balas 24 peratus ke atas Malaysia iaitu pengurangan 50 peratus ke atas tarif 47 peratus yang dikatakan dikenakan oleh Malaysia ke atas import dari AS.

"Pengiraan ini tidak mencerminkan tahap tarif sebenar dan tidak berlandaskan teori ekonomi yang kukuh. Hakikatnya secara purata, tarif dikenakan ke atas import barangan AS ke Malaysia hanyalah pada kadar 5.6 peratus dan ini diakui Pejabat Perwakilan Perdagangan AS dalam laporan 2025 National Trade Estimate Report on Foreign Trade Barriers of the President of the United States on the Trade Agreements Programyang diterbitkan 31 Mac 2025," katanya.

Anwar turut menzahirkan kebimbangan terhadap impak keputusan AS itu ke atas prestasi eksport negara dan pertumbuhan ekonomi keseluruhan.

"Kerajaan mengambil serius tindakan pengenaan tarif timbal balas (reciprocal tariff) ini. Justeru, mengambil kira kepentingan AS sebagai destinasi eksport dan sumber pelaburan asing terbesar Malaysia, kerajaan berpendirian bahawa sebarang cabaran terhadap hubungan perdagangan perlu ditangani secara pragmatik dan berteraskan kepentingan negara, di samping mengekalkan hubungan baik dengan semua rakan dagang Malaysia.

"Alhamdulillah, kita secara agresif membuka ruang perdagangan baharu, meningkat kegiatan dengan rakan dagang sedia ada seperti BRICS dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di mana ini semua telah membuahkan hasil.

"Umpamanya, pertumbuhan eksport ke negara ASEAN telah meningkat sebanyak 4.2 peratus dan Kesatuan Eropah (EU) telah meningkat sebanyak 2.6 peratus manakala pertumbuhan eksport ke pasaran bukan tradisional pada tahun 2024 juga telah melonjak.

"Antaranya Mesir sebanyak 53.6 peratus, Pakistan sebanyak 29 peratus dan Kemboja sebanyak 30.1 peratus," katanya.

Untuk rekod, hubungan perdagangan antara Malaysia dan AS kekal harmoni dan progresif sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1957.

Pada 2024, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara direkodkan sebanyak RM325 bilion, bersamaan 11 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan Malaysia.

 

+ - reset