TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JKN Johor siasat kes keracunan makanan libatkan pelajar MRSM

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 5 Mei – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang menjalankan siasatan berhubung insiden keracunan makanan yang melibatkan 16 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Johor Bahru pada Sabtu lalu.

Menurut Pengarah JKNJ, Dr. Mohtar Pungut @ Ahmad, pihaknya telah mengambil 21 sampel bagi tujuan siasatan selepas menerima laporan bahawa beberapa pelajar mengalami gejala seperti sakit perut, muntah, cirit-birit, loya, sakit kepala dan demam.

“Pemeriksaan segera dijalankan di dapur dewan makan serta kafeteria MRSM terbabit pada hari aduan diterima. Daripada jumlah itu, tujuh adalah sampel makanan, enam sampel persekitaran, lima sampel klinikal dan tiga lagi dari pengendali makanan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, premis makanan yang disyaki sebagai punca telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 18(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), sementara siasatan dijalankan sepenuhnya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon memaklumkan semua pelajar yang bergejala telah dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta untuk rawatan lanjut. - Media Telus

+ - reset