TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat kes peniaga didakwa aniaya kucing di Medan Selera Lebuh Cecil

By
|
Kongsi
image

GEORGETOWN 10 Mei - Polis Timur Laut mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan penganiayaan seekor kucing oleh seorang peniaga makanan di Medan Selera Pasar Lebuh Cecil, yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata laporan dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 20 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

“Wanita tersebut mendakwa melihat seorang lelaki mencekik seekor kucing sehingga haiwan itu meronta-ronta, dipercayai akibat memakan kuih jualannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 8 pagi kelmarin, dan laporan dibuat wanita itu pada jam 4.05 petang hari sama.

Peniaga Buat Laporan Balas, Nafi Tuduhan

Menurut Abdul Rozak, peniaga lelaki berusia 55 tahun itu turut membuat laporan polis semalam bagi menafikan dakwaan berkenaan.

“Kes ini kini diklasifikasikan sebagai ‘Rujuk Lain Agensi (RLA)’ dan telah diserahkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Kucing Dicekik dan Dimasukkan ke Dalam Plastik

Menurut laporan, wanita tersebut mendakwa lelaki terbabit mengancam untuk mencekik kucing itu sampai mati sekiranya dia mahu mengambilnya.

Kucing tersebut dilaporkan dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum wanita berkenaan mengambilnya untuk dibawa pulang. Haiwan itu turut dikatakan terbuang air besar akibat trauma.

Insiden ini mencetuskan kemarahan netizen dan aktivis haiwan selepas tangkapan layar laporan polis serta hantaran berkaitan tersebar luas di media sosial. - Media Telus

+ - reset