TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mayat bayi ditemui tersangkut pada batu di Sungai Klang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Mei - Dua sahabat terkejut apabila menemui satu objek menyerupai bayi tersangkut pada batu di Sungai Klang, ketika sedang makan di sebuah restoran tomyam berhampiran Jalan Klang Lama, semalam.

Mereka segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 sekitar jam 2.05 petang.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata pihaknya menerima panggilan dan segera menghantar pasukan penyiasat, termasuk detektif, jurufoto dan anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke lokasi kejadian.

“Saksi memaklumkan ternampak objek seperti mayat bayi tersangkut pada batu di sungai. Bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh turut dipohon bagi membantu membawa naik jasad tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Masih Bertali Pusat, Disyaki Baru Dilahirkan

Menurut Ku Mashariman, siasatan awal mendapati jasad tersebut adalah bayi lelaki yang masih bertali pusat, dipercayai baru sahaja dilahirkan.

Bedah siasat dijadualkan dijalankan di Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tengah hari esok bagi menentukan punca kematian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, iaitu menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit,” katanya lagi.

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dalam insiden menyayat hati ini. - Media Telus

+ - reset