TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MYExpo Dili 2025 buka tirai, perkukuh hubungan ekonomi dan budaya Malaysia–Timor Leste

By
|
Kongsi
image

DILI, 9 Mei – Malaysia Expo Dili (MYExpo Dili) 2025 membuka tirainya semalam di Pusat Konvensyen Dili, menandakan permulaan baharu dalam usaha mengukuhkan kerjasama ekonomi, pertukaran budaya dan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Timor-Leste.

Acara sulung ini dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Dili bersama My Events International Sdn Bhd, bersempena Pengerusi ASEAN Malaysia 2025 dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

MYExpo Dili 2025 menyediakan platform interaktif yang menghimpunkan pemimpin industri, pegawai kerajaan, ahli akademik dan masyarakat umum bagi memupuk inovasi, perdagangan dan kerjasama serantau.

Antara rakan strategik yang turut serta dalam penganjuran ialah Weststar Aviation Services, Redstar Global Timor Lda, Golden River Universe Lda, Everworks Timor-Leste Lda, MetroLink, Timor Lodge Hotel & Residence dan Telkomcel.

Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pembangunan Perniagaan My Events International, Dailan Muhammad Ravi, diikuti oleh ucapan oleh Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Datuk Amarjit Sarjit Singh dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelarasan Hal Ehwal Ekonomi, Pelancongan dan Alam Sekitar Timor-Leste, Dato' Sri Francisco Kalbuadi Lay.

Selama dua hari berlangsungnya ekspo, lebih 30 entiti terkemuka dari Malaysia menyertai pameran dengan kehadiran lebih 70 delegasi dari pelbagai sektor termasuk pendidikan, kejuruteraan, penerbangan, penjagaan kesihatan, teknologi maklumat, tekstil dan perundingan.

Dalam bidang pendidikan, antara institusi yang mengambil bahagian ialah:

  • Universiti Kuala Lumpur (UniKL)

  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

  • Asia Pacific University (APU)

  • Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin

  • Taylor’s University

  • Universiti Utara Malaysia (UUM)

  • Manipal University College Malaysia

  • Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT)

Antara pempamer lain yang turut serta termasuk Cartex Apparels, Lazat, Miripoly, Topkrete, Green Controls Technology, Asian Development Bank, Velo Technologies, Cosmos Integrated Engineering, Primos Bo’ot, PY Konsep Perunding, HAPM Consultants, Batik Air Malaysia, Telkomcel, Dexion, IHH Healthcare dan Petros.

Acara turut menampilkan sesi padanan perniagaan, perbincangan meja bulat, persembahan kebudayaan serta jamuan jaringan profesional, bertujuan membuka peluang kerjasama rentas sempadan.

Sebagai daya tarikan tambahan, ASEAN Bazaar turut dibuka kepada orang ramai dengan menampilkan masakan tempatan, kraftangan dan persembahan kebudayaan selaras dengan tema Pengerusi ASEAN 2025 iaitu Inklusiviti dan Kelestarian.

MYExpo Dili 2025 mengalu-alukan kehadiran rakyat Timor-Leste dan rakan serantau untuk bersama menjayakan inisiatif ini demi memperkukuh perkongsian serantau serta meneroka potensi pertumbuhan dan pembangunan baharu.

+ - reset