TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Remaja memandu melulu sebabkan 5 maut dibebaskan dengan jaminan RM5,000

By
|
Kongsi
image

 

 

KUCHING 14 Mei – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun diikat jamin sebanyak RM5,000 selepas didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lima individu dalam kemalangan di Jalan Teo Kui Seng-Stutong Baru, 14 Januari lalu.

Majistret Ling Hui Chuan membenarkan jaminan itu dengan syarat dijamin oleh ibu bapanya dan menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes selepas menerima laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam kejadian pada jam 12.50 tengah hari, remaja terbabit yang tidak memiliki lesen memandu, didakwa memandu sebuah kereta Proton Saga secara melulu hingga terbabas dan merempuh beberapa pengguna jalan raya di laluan bertentangan.

Kemalangan itu mengorbankan lima individu berusia antara 16 hingga 42 tahun yang menaiki sebuah Toyota Altis, Proton Saga serta dua motosikal jenis Yamaha dan Modenas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, bapa remaja terbabit, Akie Suma, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membenarkan anaknya memandu tanpa pengawasan.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Kuching, Noraini Ahmad menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh juga diperintahkan menjalani kerja kemasyarakatan selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu, Jamilah Hassan, 42, isteri kepada salah seorang mangsa yang maut, menuntut hukuman setimpal terhadap remaja terbabit.

“Kami hilang ketua keluarga yang mencari rezeki hanya disebabkan oleh kecuaian ibu bapa membenarkan anak mereka memandu kenderaan sedangkan dia masih di bawah umur. Perbuatan mereka terlalu berat sehingga menyebabkan hidup kami sekeluarga kini dihimpit kesusahan,” katanya.

Jamilah, dari Kampung Tabuan Melayu, hadir ke mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes melibatkan kematian suaminya, Wan Khairul Nizam Wan Abdul Kadir.

Pasangan itu mempunyai lima anak berusia antara enam hingga 19 tahun.

+ - reset