Berita Berita
MH17: Malaysia tunggu masa sesuai keluarkan kenyataan balas keputusan ICAO terhadap Russia

PUTRAJAYA 14 Mei - Kementerian Pengangkutan sedang menyelaras kenyataan bersama Wisma Putra susulan keputusan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang mendapati Russia bertanggungjawab dalam insiden tembakan jatuh pesawat MH17 pada tahun 2014.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan dijangka akan dikeluarkan dalam masa terdekat selepas proses koordinasi bersama Kementerian Luar Negeri dimuktamadkan.
"Jemaah Menteri sudah meneliti kenyataan ICAO berkaitan insiden MH17. Menteri Pengangkutan telah memaklumkan bahawa satu kenyataan media akan diterbitkan sebagai maklum balas," katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Kenyataan itu susulan keputusan ICAO yang diumumkan kelmarin, menyatakan Russia bertanggungjawab dalam tragedi MH17 yang telah meragut 298 nyawa penumpang dan anak kapal. Kerajaan Belanda dalam kenyataannya turut menyebut bahawa ICAO akan mempertimbangkan bentuk pampasan yang wajar dalam masa terdekat.
Insiden tragis itu berlaku pada 17 Julai 2014, apabila pesawat Malaysia Airlines MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine, ketika wilayah itu menjadi medan konflik antara kumpulan pemisah pro-Russia dan tentera Ukraine.
Pada November 2022, mahkamah Belanda telah mensabitkan dua warga Russia dan seorang warga Ukraine atas tuduhan membunuh walaupun mereka tidak hadir ke mahkamah. Bagaimanapun, Moscow menolak keputusan tersebut dan enggan mengekstradisi warganya, sambil menyifatkan keputusan itu sebagai "memalukan".
Keputusan ICAO ini sekali lagi mengundang perhatian antarabangsa terhadap isu keadilan bagi mangsa MH17 dan menuntut ketelusan serta tanggungjawab daripada pihak yang terlibat. - Media Telus
Berita berkaitan
May 14, 2025, 6:33 pm
Hujan lebat diramal landa 7 negeri malam ini - MetMalaysia
May 14, 2025, 4:36 pm
Lelaki hanyut dua hari bersama rakit di Sungai Kelantan ditemui dalam keadaan lemah
May 14, 2025, 4:23 pm
Hospital Putrajaya, HKL tersenarai dalam 50 hospital terbaik dunia
May 14, 2025, 4:16 pm
Kementerian Pengangkutan diberi tempoh sebulan lengkapkan laporan nahas FRU
May 14, 2025, 4:10 pm
Remaja memandu melulu sebabkan 5 maut dibebaskan dengan jaminan RM5,000
May 14, 2025, 3:49 pm
Polis akan ambil keterangan anak Datin Seri Pamela di Singapura
May 14, 2025, 3:44 pm
Nurul Izzah nafi berselisih faham dengan Hassan Karim
May 14, 2025, 3:39 pm
Perlis haramkan penjualan vape bermula 1 Ogos
May 14, 2025, 3:38 pm