Berita Berita
Padah simpan minyak masak tanpa lesen, restoran nasi kandar didenda RM100,000

SEREMBAN, 15 Mei – Seorang pengurus syarikat restoran nasi kandar didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis selepas mengaku bersalah menyimpan 1,241 kilogram (kg) minyak masak di premis tidak berlesen.
Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman terhadap Das Jhonny Chandra, 38, yang merupakan warga Bangladesh, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, selain memutuskan agar semua ekshibit dilucuthak kepada pihak pendakwaan dan pasport tertuduh dikembalikan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menyimpan minyak masak di dalam tong ‘jerry’ di sebuah hostel pekerja restoran di Dataran Sentral, Seremban kira-kira jam 3.15 petang pada 26 April 2024, tanpa lesen sah daripada pegawai bekalan.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya, hukuman boleh mencecah RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun.
Peguam tertuduh, Ashok Atimulan dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah berkahwin, mempunyai seorang anak, serta menanggung ibu bapa yang lanjut usia di Bangladesh.
“Sejak awal serbuan, OKS memberi kerjasama dengan pihak KPDN. Dia juga tidak mempunyai sabitan lampau dan ini merupakan kesalahan pertamanya.
“Saya merayu agar hukuman ringan dalam bentuk denda dikenakan dan memohon pasport OKS dikembalikan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nor Alimah Mohd Sanusi berkata, pindaan kadar denda daripada RM100,000 kepada RM1 juta yang telah diluluskan Parlimen mencerminkan keseriusan kesalahan tersebut.
“Faktor kepentingan awam memerlukan mahkamah menjatuhkan hukuman berat agar berupaya mencegah peniaga lain daripada melakukan kesalahan yang sama,” katanya.
Berita berkaitan
May 15, 2025, 11:30 pm
Bot TLDM hilang kawalan, rempuh bot pelancong ketika raptai LIMA ’25 di Langkawi
May 15, 2025, 9:43 pm
MISI terus perkasa komuniti India melalui AI, kreativiti digital
May 15, 2025, 7:02 pm
NIOSH sedia bantu tingkatkan keselamatan pemandu kenderaan berat susulan tragedi FRU
May 15, 2025, 6:26 pm
Tibi ragut 11 nyawa di Terengganu tahun ini
May 15, 2025, 6:07 pm
MCMC siasat ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di media sosial
May 15, 2025, 3:19 pm
Rakyat boleh buat aduan jika GP, klinik pakar swasta gagal beri bil terperinci - KKM
May 15, 2025, 3:05 pm
JPA cadang kekalkan bayaran bulanan pencen elak pesara jadi mangsa scam
May 15, 2025, 2:32 pm