TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tibi ragut 11 nyawa di Terengganu tahun ini

By
|
Kongsi
image

KUALA BERANG 15 Mei - Sebanyak 11 kematian akibat penyakit tuberkulosis (tibi) direkodkan di Terengganu bagi tempoh Januari hingga semalam, melibatkan pesakit dewasa yang lewat mendapatkan rawatan awal.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sebanyak 210 kes baharu tibi dilaporkan setakat ini, sedikit menurun berbanding 214 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Sepanjang 2024, jumlah keseluruhan kes tibi yang direkodkan ialah 632 kes, menurun 6.9 peratus berbanding 679 kes pada 2023.

“Namun, kita tidak boleh berasa selesa kerana 26 kematian turut dicatatkan tahun lalu akibat kelewatan mendapatkan rawatan,” katanya sempena Sambutan Hari Malaria, Hari Kesihatan dan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2025, di sini hari ini.

Beliau menggesa orang ramai agar melakukan saringan awal jika mengalami gejala berkaitan, bagi membolehkan rawatan segera dan mengelakkan komplikasi serius.

Sementara itu, mengenai penyakit malaria, hanya tiga kes dilaporkan di Terengganu setakat ini — dua daripadanya melibatkan malaria zoonotik dan satu kes malaria import. Kes berkenaan berlaku di daerah Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu. - Media Telus

+ - reset