TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MCMC siasat ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di media sosial

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Mei - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap satu hantaran media sosial yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap, susulan beberapa aduan daripada orang awam.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan seorang individu telah dipanggil untuk dirakam percakapan di pejabat MCMC Terengganu, manakala sebuah telefon bimbit turut disita bagi membantu siasatan.

“Individu lain yang berkaitan akan turut dipanggil sekiranya perlu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

MCMC turut mengingatkan bahawa Jalur Gemilang ialah simbol rasmi negara yang mencerminkan kedaulatan dan perpaduan rakyat.

“Penggunaan ilustrasi yang tidak tepat, terutamanya dalam talian, boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti awam,” tambah kenyataan itu.

MCMC menyeru orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam memuat naik kandungan, terutama dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penjana kandungan digital.

Pada Isnin, Pas Terengganu tampil memohon maaf secara terbuka selepas logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 memaparkan Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu bintang yang lengkap. Logo itu telah ditarik balik atas alasan kekhilafan teknikal yang tidak disengajakan. - Media Telus

+ - reset