Berita Hiburan
Yassin dedah terpaksa tidur dalam keadaan berdiri ketika ditahan di Jeddah
KUALA LUMPUR 27 Mei - Pelawak dan pelakon terkenal tanah air, Yassin Yahya atau lebih dikenali sebagai Yassin Senario, akhirnya tampil menjelaskan punca sebenar penahanannya di Jeddah, Arab Saudi pada Oktober tahun lalu.
Menerusi pendedahan eksklusif dalam episod khas audio siar Darkcast bersama Saiful Apek yang disiarkan di saluran YouTube Gitu Gitu Studio, Yassin, 47, memaklumkan beliau ditahan di lokap polis Jeddah selama 10 hari sebelum dipindahkan ke Pusat Pentadbiran dan Pengusiran Warga Asing Jeddah.
“Bukan penjara seperti yang dilaporkan, tetapi saya ditempatkan di pusat tahanan sementara menunggu perbicaraan,” katanya.
Yassin berkata, beliau dijatuhi hukuman enam bulan penjara selepas dibicarakan secara dalam talian pada 19 November atas kesalahan membawa barangan bercetak lambang larangan yang dikesan pihak kastam di Lapangan Terbang Jeddah.
“Saya beli rokok kertas, pengisar dan sekotak rokok sebelum berlepas kerana risau tak boleh merokok di sana. Ketika pemeriksaan imbasan, kastam dapati ada lambang larangan dan saya terus ditahan,” jelasnya.
Beliau turut mengakui tidak sempat mengikuti kursus umrah kerana kekangan kerja dan tidak mengetahui secara terperinci undang-undang Arab Saudi berkenaan barangan larangan.
Lebih memilukan, Yassin turut berkongsi pengalaman terpaksa tidur dalam keadaan berdiri selama beberapa malam kerana kesesakan dalam sel tahanan.
“Saya hanya mampu berzikir dan berdoa. Selepas lapan hari, baru saya dapat baring di depan pintu tandas,” katanya.
Yassin turut menasihati rakyat Malaysia khususnya jemaah umrah agar lebih berhati-hati dengan barangan yang dibawa ke negara berkenaan bagi mengelakkan salah faham pihak berkuasa tempatan.
“Saya anggap ini satu pengajaran besar daripada Allah. Saya tidak marah pada sesiapa, malah saya maafkan mereka yang menyebarkan fitnah kerana mungkin mereka khuatirkan keadaan saya,” ujarnya.
Terdahulu, nama Yassin dikaitkan dengan laporan penahanan seorang pelawak Malaysia di Arab Saudi atas dakwaan berkaitan dadah, namun tiada sebarang pengesahan rasmi diberikan sehingga pendedahan beliau baru-baru ini. - Media Telus
Berita berkaitan
August 29, 2026, 11:01 am
Penyanyi kumpulan rock BPR, Joey meninggal dunia pada usia 63 tahun
August 26, 2026, 12:57 pm
Ayda Jebat terima bintang cemerlang Melaka
August 16, 2026, 9:10 am
‘Tiwikarma’ curi perhatian, K.O.I juara AJL40
August 7, 2026, 5:37 pm
"Semua ketentuan Allah" — Ismahalil reda dipenjara 30 tahun, video pesanan terakhir tular
July 30, 2026, 3:02 pm
Pempengaruh kongsi Rohingya halau keluar Malaysia, dedah cara dapat bekalan perniagaan
July 27, 2026, 2:56 pm
'Macam mana info peribadi saya awak boleh tahu?',Fattah Amin berang fitnah melampau
July 20, 2026, 6:10 pm
