TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Budak maut jatuh dari tingkat 30, polis tahan ibu kandung, bapa saudara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 6 Jun – Polis menahan seorang wanita dan adik lelakinya bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 30 sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, wanita berusia 27 tahun yang merupakan ibu kepada mangsa, serta adik lelakinya berumur 25 tahun, kini direman sehingga hari ini.

"Tangkapan dibuat ke atas ibu mangsa dan adik lelaki wanita terbabit dan kedua-duanya direman bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Aidil, bedah siasat yang telah dijalankan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan parah akibat jatuh dari tempat tinggi.

“Punca kematian dikenal pasti sebagai ‘multiple injuries due to fall from height’ (kecederaan pelbagai akibat jatuh dari tempat tinggi),” jelasnya.

Tambah beliau, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar serta bagaimana kanak-kanak itu boleh terjatuh dari kediaman mereka.

"Siasatan masih diteruskan dan kita belum dapat mengesahkan sepenuhnya bagaimana kejadian itu berlaku. Siasatan dijalankan secara menyeluruh," katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika didapati bersalah atas kecuaian terhadap kanak-kanak.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi semalam di Jalan Jalil Impian 1, Bukit Jalil, mangsa dipercayai terjatuh dari balkoni kediaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

+ - reset