TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiga maut, dua masih hilang dalam tragedi bot terbalik di Tanjung Harapan

By
|
Kongsi
image

 

PELABUHAN KLANG 7 Jun – Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak dilaporkan maut, manakala sepasang suami isteri masih hilang selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Harapan pada Jumaat.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) sedang giat dijalankan bagi mengesan pasangan yang masih belum ditemui itu.

“Kedua-dua individu dikenali sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya Careen Man, 29, masing-masing berasal dari Klang Utama.

“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat dua mangsa terbabit sedang giat dijalankan,” katanya pada Sabtu.

Jelas beliau, CARILAMAT diaktifkan pada jam 5.16 petang oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.

“Operasi digerakkan segera dengan penyertaan aset Maritim Malaysia dan dibantu agensi sahabat seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta sokongan daripada bot penumpang berhampiran lokasi.

“Bot yang terbalik telah berjaya ditunda ke jeti terapung Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 0.3 batu nautika dari arah barat Tanjung Harapan itu, tiga mangsa disahkan maut. Mereka ialah Darren Gan, 3, anak kepada pasangan yang hilang, serta Cheu Son Hin, 50, yang masing-masing ditemukan di ruang hadapan bot.

“Turut terkorban ialah Fong Yong Sen, 29, rakan kepada pasangan berkenaan yang turut ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, seorang lagi mangsa iaitu Chang Yan Qin Alvin, 17, terselamat,” katanya.

Tambah Abdul Muhaimin, kerja-kerja penyelaman akan dilakukan oleh pihak bomba kerana terdapat kemungkinan mangsa masih berada di dalam bot yang sebahagiannya dipenuhi lumpur.

“Bagi menyelaras gerakan dan logistik operasi, Pangkalan Hadapan Mencari dan Menyelamat telah ditubuhkan di Pejabat Maritim Negeri Selangor.

“Sementara itu, Maritim Malaysia Selangor mengingatkan orang awam supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.

“Penggunaan jaket keselamatan, pemantauan keadaan cuaca semasa, dan kecekapan dalam mengendalikan bot adalah antara perkara asas yang wajib diberi perhatian serius,” katanya. 

+ - reset