Berita Ekonomi
Adik-beradik bilionair Malaysia bakal lancar projek kediaman mewah bernilai RM8.56 bilion di Singapura
KUALA LUMPUR 10 Jun - IOI Properties Group, konglomerat hartanah milik adik-beradik bilionair Dato’ Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng, bersiap sedia untuk melancarkan projek kediaman mewah terbarunya di Marina Bay, Singapura iaitu Marina View Residences, yang dianggarkan bernilai RM8.56 bilion.
Projek mercu itu bakal menampilkan 683 unit kondominium mewah dan dibina di atas sebidang tanah seluas 7,817 meter persegi yang dibeli daripada kerajaan Singapura melalui lelongan pada tahun 2021 dengan harga SGD1.51 bilion (kira-kira RM3.78 bilion). Pelancaran ini menandakan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh kehadirannya di pasaran hartanah premium Singapura.
Menurut wakil IOI Properties, projek itu dijangka menarik perhatian pembeli tempatan berpendapatan tinggi dan penduduk tetap, berikutan kekuatan ekonomi Singapura dan kestabilan pasaran hartanah negara tersebut.
“Projek ini disasar kepada pembeli dengan kuasa beli tinggi di Singapura yang sentiasa mencari hartanah berprestij di lokasi strategik seperti Marina Bay,” katanya.
Pelancaran Marina View Residences hadir ketika pasaran hartanah kediaman Singapura menunjukkan tanda-tanda penyejukan harga, susulan langkah kerajaan menggandakan duti setem ke atas pembeli asing. Namun begitu, permintaan untuk segmen kediaman mewah masih kekal kukuh.
Christine Sun, Naib Presiden Kanan Penyelidikan di firma hartanah OrangeTee & Tie berkata, “Masih wujud permintaan yang tinggi dalam kalangan pembeli mewah tempatan dan penduduk tetap meskipun terdapat tekanan pasaran.”
Selain Marina View Residences, IOI Properties turut giat membangunkan IOI Central Boulevard Towers, sebuah menara pejabat gergasi yang dijadual siap penghujung tahun ini. Bangunan pejabat itu telah menarik penyewa utama antaranya Amazon dan Morgan Stanley, menurut laporan media tempatan.
IOI Properties juga mempunyai pelaburan kukuh lain di Singapura termasuk projek South Beach Development yang dibangunkan bersama hartawan Kwek Leng Beng, serta Cape Royale, projek kediaman mewah di Pulau Sentosa yang dibina bersama syarikat Ho Bee Land milik taikun Chua Thian Poh.
Adik-beradik Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng mewarisi empayar IOI daripada bapa mereka, mendiang Tan Sri Lee Shin Cheng, yang merupakan tokoh perladangan terkemuka negara. Dengan nilai bersih sebanyak USD4.6 bilion (sekitar RM21.34 bilion), mereka kini berada di tangga ke-6 dalam senarai 50 Terkaya di Malaysia oleh Forbes.
Pelancaran Marina View Residences dijangka memperkukuh lagi kedudukan IOI Properties sebagai pemain utama dalam pasaran hartanah rantau ini, bukan sahaja di Malaysia, malah di salah satu pasaran paling kompetitif di Asia, iaitu Singapura. - Forbes
Berita berkaitan
April 20, 2026, 12:12 pm
Pelabur luar borong RM9.5 bilion bon tempatan, Ringgit terus juara di Asia
April 18, 2026, 4:43 pm
Gangguan bekalan minyak Caltex di 5 negeri utara dan timur
April 10, 2026, 11:06 am
Bank Dunia saran Malaysia naikkan harga RON95 kepada RM2.05 seliter, kurangkan beban subsidi
April 9, 2026, 10:36 pm
Shell Malaysia mohon maaf, jamin akan utamakan bekalan stabil
April 7, 2026, 2:21 pm
Saham IJM Corp menyusut, Sunway Bhd meningkat susulan kegagalan tawaran pengambilalihan
April 1, 2026, 7:39 pm
Gagal kawal data pelanggan, BNM denda Bank Rakyat RM1 juta
April 1, 2026, 3:53 pm
KDNK Malaysia 2026 diunjur kekal stabil 4.0% - 5.0% di sebalik cabaran inflasi global
March 30, 2026, 12:35 pm
BNM dijangka kekalkan kadar faedah 2.75 peratus sepanjang 2026
February 26, 2026, 5:29 pm
