Berita Ekonomi
Malaysia naik 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025
KUALA LUMPUR 17 Jun – Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia (WCR) 2025, pencapaian terbaik sejak tahun 2020, sekali gus mencerminkan momentum progresif pemulihan ekonomi negara serta pelaksanaan agenda reformasi.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini berkata, kedudukan itu meningkat daripada tangga ke-34 pada tahun lalu dan mengukuhkan lagi landasan negara ke arah menjadi antara 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia menjelang 2033 seperti disasarkan menerusi kerangka Ekonomi MADANI.
“Tiga faktor utama yang mendorong peningkatan ini ialah prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan,” menurut kenyataan itu.
Malaysia kini berada di tempat keempat dunia dari segi prestasi ekonomi, naik empat anak tangga daripada kedudukan kelapan pada 2024. Sementara itu, faktor kecekapan kerajaan dan perniagaan masing-masing mencatatkan peningkatan lapan tangga.
MITI turut memaklumkan sub-faktor perdagangan antarabangsa melonjak 11 anak tangga ke kedudukan keenam, dipacu oleh pertumbuhan kukuh eksport barangan dan perkhidmatan, kepelbagaian pasaran serta peningkatan hasil pelancongan yang menyumbang kepada lebihan dagangan.
Kementerian itu optimis bahawa dengan tadbir urus yang kukuh, komitmen berterusan kerajaan persekutuan dan negeri serta kerjasama rapat sektor swasta, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 12 ekonomi terbaik dunia menjelang 2033.
Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, peningkatan mendadak kedudukan Malaysia mencerminkan keberkesanan pendekatan menyeluruh kerajaan di bawah kerangka MADANI yang menekankan reformasi struktur secara holistik.
“Kenaikan 11 tangga ke tempat ke-23 daripada ke-34 tahun lalu menunjukkan bahawa reformasi berkaitan birokrasi memberi kesan langsung kepada kemudahan pelaburan dan pertumbuhan industri – dua elemen penting dalam meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan,” katanya.
MITI melalui Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN) yang dipengerusikan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyelaras hala tuju strategik antara kementerian bagi memperkasa daya saing negara.
Pada peringkat pelaksanaan, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memastikan pelaksanaan inisiatif daya saing berjalan lancar, termasuk lebih 1,000 projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
WCR diterbitkan setiap tahun oleh Institute for Management Development yang berpangkalan di Switzerland, sebagai laporan komprehensif yang menilai keupayaan sesebuah negara dalam mewujud dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan demi kemakmuran jangka panjang. – Media Telus
Berita berkaitan
October 24, 2025, 8:05 pm
CEO Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed umum letak jawatan
October 23, 2025, 11:09 am
Kerajaan dapat jimat RM5 bilion setahun hasil penyasaran semula subsidi diesel – MoF
September 26, 2025, 6:39 pm
Saham Astro jatuh merudum ke paras terendah, keuntungan merosot hampir 70 peratus
September 23, 2025, 10:56 am
Harga RON95 turun, ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS
September 18, 2025, 11:00 am
Proton e.MAS 7 kekal EV paling laris, raih jualan lebih 5,800 unit hingga Ogos
September 10, 2025, 10:40 am
CFO perlu bertindak sebagai pemacu strategi, bukan lagi ‘scorekeeper’ – Abdul Wahid
September 1, 2025, 10:08 pm
Rianlon Corp bakal melabur RM820 juta di Johor, Anwar tinjau perkembangan ECRL
September 1, 2025, 3:23 pm
Moody’s jangka BNM kekal OPR pada 2.75 peratus minggu ini
August 15, 2025, 12:30 pm
