TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Hiburan

Haiza rakam semula Dag Dig Dug sempena 30 tahun dalam industri

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Jun – Angka 30 mungkin kelihatan biasa bagi kebanyakan orang, namun bagi penyanyi dangdut terkenal Haiza, ia membawa makna besar sebagai simbol tiga dekad perjalanan seni yang penuh warna-warni dalam industri hiburan tanah air.

Haiza, yang mula mencipta nama menerusi album Dag Dig Dug... Mana Tahan pada 1995 ketika berusia 15 tahun, menyifatkan tempoh 30 tahun dalam industri sebagai satu pengembaraan panjang yang penuh dengan pahit manis.

“Tiada apa yang mampu diucapkan selain Alhamdulillah. Saya bersyukur kerana mampu bertahan dalam industri dan terus diberi peluang menghiburkan peminat dari semasa ke semasa. Sudah banyak kisah dan pengalaman yang ingin saya kongsi bersama semua,” katanya.

Sempena ulang tahun ke-30 penglibatannya, Haiza tampil dengan Dag Dig Dug 3.0, sebuah versi baharu lagu hits yang melonjakkan namanya suatu ketika dahulu. Versi terbaharu ini dirakam di Bandung, Indonesia pada Disember lalu sebagai simbolik kepada dedikasi dan cintanya terhadap seni.

Dag Dig Dug 3.0 yang diberikan nafas moden berentak ‘koplo’ dan lebih segar itu diterbitkan oleh Diki Suwarjiki dan disusun oleh Ari Yujeng, dua nama besar dalam industri muzik Indonesia yang berpengalaman luas dalam program berskala nasional.

“Versi baharu ini lebih matang dan segar, sesuai dengan perjalanan seni saya selama tiga dekad. Lagu ini juga dirakam semula atas permintaan peminat dan rakan-rakan yang mahukan sesuatu yang lebih baharu dari saya,” jelas Haiza.

Dalam majlis pelancaran Haiza Dag Dig Dug 30 Tahun di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands baru-baru ini, beliau turut berkongsi pengalamannya ketika rakaman semula serta penggambaran video muzik (MV) yang turut diadakan di Bandung.

Lebih istimewa, radio Kool 101 turut menerbitkan dokumentari khas bertajuk 3 Dekad Dag Dig Dug Haiza yang akan ditayangkan bermula 21 Jun menerusi saluran YouTube rasmi mereka.

Majlis sambutan ulang tahun tersebut turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk penaja utama Geo Resort & Hotel, Genting Highlands; penaja dekorasi Peterana Chenta; serta radio rasmi Kool 101. Rakan strategik lain termasuk Alpha Sound & Light, FKZ Picture, NR Cosmetic, Adabi, Pop Meals, Super Coffee, By Qiss Bawal Exclusive Kuantan, Jaja Ishak Channel dan NMR Sports.

Dag Dig Dug 3.0 kini boleh didengarkan di semua platform digital mulai 20 Jun, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music. – Media Telus.

+ - reset